APABILA dikatakan orang-orang bukan Islam boleh menguasai dan mencatur kuasa politik negara ini melalui parti DAP, secara langsung anda akan terfikir ia sesuatu yang tidak logik dan tidak masuk akal: bagaimana mereka boleh memerintah negara ini jika kerusi yang ditandingi oleh parti mereka tidak besar berbanding parti lain.
Orang-orang Melayu leka dengan perkara ini, iaitu mereka menganggap orang-orang bukan Islam tidak akan dapat memerintah negara ini. Bagi mereka perkara ini tidak akan terjadi.
Memang benar fakta bahawa kerusi yang ditandingi DAP adalah lebih kecil berbanding parti-parti lain seperti UMNO, PAS atau PKR. Maka ramai orang Melayu mentertawakan ancaman ini. Kononnya ia hanyalah perang saraf Barisan Nasional untuk menakut-nakutkan orang-orang Melayu supaya terus menyokong kerajaan sedia ada. Orang ramai lebih mempercayai ini sebagai suatu propaganda politik UMNO.
Benarkah ia hanya propaganda? Marilah kita fikirkan lebih mendalam berkenaan hal ini.
Jangan tertipu dengan fakta bahawa kerusi yang ditandingi DAP adalah kecil dan jika sekalipun mereka menang kesemuannya, mereka tidak dapat memerintah negara, kerana politik bukanlah sekadar fakta matematik semata-mata. Matematik juga boleh mengelirukan.
Persoalan baik atau buruk DAP menguasai politik negara ini, bukan persoalan dalam tulisan ini. Ia boleh dibahaskan dalam tulisan lain.
Ya, ramai orang memperlekehkan perkara ini. DAP dapat memerintah Malaysia adalah seperti sebuah mitos moden kepada mereka. Ramai yang tidak mempercayai DAP boleh menguasai politik negara ini jika mereka tidak cuba mempertimbangkan keadaan yang sebenar.
Saya boleh sahaja tunjukkan contoh kepada anda bagaimana negara Israel yang kecil boleh menguasai negara-negara Arab yang mengelilinginya agar anda memahami perkara ini. Tetapi, anda mungkin menyatakan keadaannya tidak sama. Lagi pula anda tidak akan memerah otak anda untuk memahaminya. Bahkan, kenyataan ini seperti retorik semata-mata kerana ia tidak dapat dihubungkaitkan dengan DAP menguasai Malaysia secara satu persatu.
Benar jumlah kerusi yang ditandingi DAP adalah kecil. Tetapi, tidak mustahil mereka boleh memenangi hampir 80-90% kerusi yang ditandingi mereka kerana mereka mendapat sokongan orang-orang bukan Islam yang padu, selain undi daripada orang-orang Melayu yang berfahaman liberal.
Untuk DAP memerintah negara ini adalah sangat mudah sebenarnya, iaitu dengan menumbangkan kerajaan Barisan Nasional, sudah pasti DAP akan memerintah. Mereka mendapat sokongan padu orang-orang bukan Islam.
Apabila kerajaan baru ditubuhkan, sudah pasti mereka akan mengawal kerajaan baru ini kerana bilangan kerusi mereka adalah besar dalam kalangan pembangkang. Jika kerusi yang dimenangi mereka sedikit sekalipun, bilangan kerusi mereka itu juga penting untuk membentuk kerajaan.
Jadi ditakdirkan pembangkang menang, adalah tidak mustahil DAP adalah majoriti berbanding parti-parti pembangkang yang lain seperti PKR, PPBM dan PAN. Contohnya, dalam keadaan sekarang pun, DAP memiliki kerusi pembangkang yang terbesar. Itu tidak termasuk lagi kerusi PKR yang disandang oleh calon bukan Islam. Sekiranya pembangkang membentuk kerajaan baru, sudah pastilah DAP adalah bahagian yang penting. Tanpa DAP, kerajaan baru tidak akan dapat dibentuk. Ini adalah perkara yang semua orang tahu.
Mereka tidak perlu menjadi perdana Menteri untuk menentukan halatuju dan dasar- dasar kerajaan baru. Mungkin pemimpin DAP tidak akan menjadi Perdana Menteri buat masa sekarang, tetapi untuk mencatur sesebuah negara, mereka tidak perlu menjadi Perdana Menteri.
Anda silap jika fikir diperintah oleh orang bukan Islam itu bermakna Perdana Menteri adalah orang bukan Islam. Tetapi, jika seorang Perdana Menteri itu dicatur oleh orang bukan Islam, itu bermakna negara tersebut sudah diperintah oleh orang bukan Islam. Bagaimana ia terjadi? Seseorang Perdana Menteri yang dilantik daripada gabungan parti yang majoritinya adalah orang-orang bukan Islam, sudah pastilah ia akan terikat atau tunduk kepada orang-orang bukan Islam. Ini adalah perhitungan yang mudah.
Tidak ada gunanya mendakwa negara kita masih diketuai oleh orang Islam jika Perdana Menterinya adalah pemimpin yang dikawal oleh orang-orang bukan Islam. Sebenarnya lebih mudah lagi bagi orang-orang bukan Islam mencatur negara ini jika
Perdana Menteri mereka adalah orang Melayu-Islam. Ia adalah teknik penyamaran, sedangkan Perdana Menteri tersebut sudah dicucuk hidung. Jika tokoh tersebut menyimpang daripada haluan yang ditentukan oleh mereka, tokoh itu akan diancam untuk dijatuhkan. Kerajaan baru tersebut pasti akan tumbang jika DAP menarik diri. Maka anda boleh bayangkan bagaimana kerajaan baru ini akan ditadbir, ke mana kah haluan mereka.
Sepatutnya perkara ini tidak perlu panjang lebar diterangkan seperti dalam tulisan ini kerana anda sendiri sudah menyaksikan bagaimana hari ini ahli-ahli politik pembangkang berlumba-lumba mengampu orang-orang bukan Islam untuk meraih sokongan. Bahkan mereka sendiri lebih sudu daripada kuah dalam memperjuangkan agenda orang-orang bukan Islam sehingga menggadaikan agama dan bangsa mereka sendiri.
Apa yang saya sebutkan ini berlaku ketika pembangkang belum lagi memerintah, dan anda boleh bayangkan sendiri bagaimana keadaannya jika ditakdirkan mereka memerintah negara.
Bahkan, Tun Dr Mahathir, yang kini memimpin parti PPBM, yang menjadi sebahagian daripada pakatan parti pembangkang, dalam satu majlis pembangkang, menyatakan bahawa orang-orang Melayu akan dikuasai oleh orang bukan Islam jika mereka berpecah-belah. Mereka akan perlukan sokongan orang-orang bukan Islam untuk memerintah, dan apabila perkara ini berlaku, sudah pasti mereka terpaksa memenuhi kehendak orang-orang bukan Islam.
Sekali lagi, sekiranya pakatan pembangkang menang, ia hanyalah mengulangi kisah Pak Kaduk berlaga ayam. Memang pembangkang yang menang, tetapi ia adalah kemenangan orang-orang bukan Islam melalui DAP. Jika dihalusi, perkara ini memperlihatkan bahawa pakatan pembangkang sebenarnya lebih didominasi oleh orang-orang bukan Islam.
Jadi, mahu tidak mahu, dengan menyokong pembangkang sebenarnya anda telah menjadi kuda tunggangan orang bukan Islam untuk menguasai negara ini. Ya, apa faedahnya orang-orang bukan Islam menukar kerajaan jika keadaannya adalah sama, iaitu mereka masih tidak dapat menikmati hak kesamarataan sebagai rakyat Malaysia? Adakah anda fikir orang-orang bukan Islam ini bodoh dan tidak memikirkan kelangsungan bangsa mereka dalam berpolitik? Maka sebenarnya adalah mudah untuk memahami bagaimana DAP boleh menguasai negara ini walaupun pemimpin mereka tidak terang-terangan menjadi Perdana Menteri, tidak menjadi parti terbesar pembangkang (apatah lagi jika menjadi bahagian yang
terbesar).
Malangnya, apabila dikatakan orang-orang bukan Islam (DAP) boleh memerintah negara ini, ramai yang mentertawakannya dan menganggap ia hanya propaganda politik.
Jadi, siapa yang bodoh dan patut diketawakan sebenarnya?
Perkara ini tidak ada masalahnya jika anda sebagai orang Melayu tidak peduli lagi
negara ini menjadi sebuah negara sekular-liberal- plural seperti yang diperjuangkan DAP.
PS: 5 tahun lalu.
No comments:
Post a Comment