Cadangan 5-50k-500km.
CABARAN TERKINI bagi Malaysia:
1. Harga minyak dunia dijangka tetap tinggi bagi tahun-tahun mendatang disebabkan kekurangan pelaburan upstream dalam tempoh 8 tahun lalu setelah harga minyak menjunam lebih 80% pada tahun 2014.
2. Malaysia merupakan negara pengimport minyak sebab pengeluaran minyak kita tidak memenuhi keperluan penggunaan domestik. Tetapi negara adalah pengeluar dan pengeksport gas asli antara terbesar dalam dunia.
3. Beban subsidi bahan api Malaysia adalah sangat tinggi iaitu sekitar RM30 bilion setahun sebab Malaysia antara 10 buah negara dengan harga petrol dan diesel termurah.
4. Malaysia perlu mengurangkan pencemaran udara bagi memenuhi sasaran perubahan iklim.
5. Malaysia perlu mengekalkan dan memperkembangkan kedudukan dunia antara negara terbesar dalam industri pembuatan dan pengeksport barang semikonduktor dan elektronik memandangkan keperluan tekonologi dan 5G semakin penting.
Pengeluaran dan bekalan semikonduktor tempatan juga adalah penting dalam keadaan geo-politik yang tidak stabil akibat ketegangan perhubungan serta perang dagang antara negara Amerika Syarikat dengan negara China.
Sebarang gangguan rantaian bekalan semikonduktor akan mempunyai kesan yang besar bagi industri elektronik tempatan dan dunia.
Sebab itu, Malaysia sebagai negara berkecuali merupakan pilihan yang menarik untuk kestabilan bekalan semikonduktor bagi pembeli elektronik yang waspada pada kemungkinan perang dagang antara negara Amerika Syarikat dan China.
PELUANG:
1. Syarikat Foxconn (atau Hon Hai) adalah antara syarikat pembuatan elektronik terbesar dalam dunia dengan jumlah jualan yang mencecah RM1 trilion setahun. Syarikat ini juga adalah pembekal utama bagi syarikat Apple dan ramai lagi jenama-jenama barangan elektronik paling terkenal dalam dunia.
Syarikat ini telah mengumumkan bahawa mereka ingin menceburi industri kereta elektronik (EV) secara berskala besar sebab mempunyai kelebihan dalam pengeluaran barangan elektronik.
Mereka menawarkan platform bagi kereta EV dan lori EV kepada syarikat-syarikat kereta untuk mempercepatkan pengeluaraan kenderaan EV masing-masing.
2. Pada tahun 2021, Syarikat Foxconn yang telah membeli 5% kepentingan saham dalam syarikat tersenarai tempatan Dagangnet Xchange (DNEX) setelah DNEX membeli 100% kepentingan saham Siltera Berhad dari Khazanah Nasional.
Biarpun telah menjadi customer terbesar, pengeluaran DNEX dari kilang Silterra masih tidak mampu memenuhi permintaan FoxConn..
Sebab itu, FoxConn telah bersetuju menubuhkan sebuah usaha sama dengan DNEX untuk membina satu kilang semikonduktor di Malaysia dan bersetuju menjadi customer utama bagi pengeluaran kilang baru ini yang khususnya untuk memenuhi keperluan kenderaan EV.
Kilang dengan anggaran pelaburan sebanyak US$5 bilion (RM22 bilion) dijangka menjadi antara kilang terbesar di ASEAN dan dunia.
Sekiranya MOU ini menjadi realiti, ianya bakal menjadi pelaburan asing kedua terbesar dalam sejarah Malaysia selepas pelaburan US$7 bilion syarikat Aramco dalam projek Pengerang yang dibuat masa saya PM.
"17 Mei 2022: Taiwan’s Foxconn plans to build chip facility in Malaysia amid EV push"
https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2022/05/17/taiwans-foxconn-plans-to-build-chip-facility-in-malaysia-amid-ev-push/
Sebab DNEX, Silterra serta Foxconn mempunyai track-rekod dalam pengeluaran semikonduktor dan elektronik dan sebab FoxConn telah bersetuju menjadi customer utama, ianya tidak susah bagi syarikat DNEX mencari pelabur atau bank untuk membiayai pelaburan yang amat besar bagi membina kilang gergasi ini.
3. Kepastian bekalan semikonduktor dari pengeluaran kilang baru di Malaysia ini juga akan menarik lebih banyak lagi kilang-kilang elektronik untuk ditubuhkan di negara kita. Ini bakal memperkukuhkan eko-sistem industri elektronik Malaysia.
4. Pengeluar-pengeluar kereta tempatan seperti Proton dan Perodua belum mengeluarkan kereta EV yang mampu milik bagi pasaran domestik.
Biarpun telah dikecualikan pelbagai cukai, kereta EV paling murah ketika ini adalah pada harga RM150k ke atas.
Terdapat pasaran yang besar sekiranya pengeluar tempatan berjaya mengeluarkan kereta EV yang saiznya seperti Proton X50 dan MyVi.
Saya yakin bahawa permintaan bagi sebuah kereta EV 5 penumpang yang mempunyai range 500km bagi setiap caj yang dijual pada harga RM50k adalah amat besar dan mampu mempercepatkan kadar penggunaan EV Malaysia.
Sekiranya, pengeluar tempatan dengan galakkan kerajaan boleh bekerjasama dengan FoxConn dan syarikat tempatan DNEX bagi mempercepatkan usaha pengeluaran kenderaan EV mereka maka kereta 5-RM50k-500km ini bagi pasaran tempatan mampu menjadi realiti.
Sekiranya usaha ini berjaya maka kesemua cabaran-cabaran utama yang saya senaraikan diatas bertukar menjadi peluang besar bagi tahun-tahun mendatang bagi negara pula.
Sekadar cadangan saya sahaja. Harap kerajaan hari ini pertimbangkan.
No comments:
Post a Comment