Sunday, 25 February 2024

Keluarga kita bukan seperti dulu

1. KELUARGA KITA BUKAN LAGI SEPERTI DULU. 
Dahulu kita boleh pergi ke rumah nenek untuk makan, berkumpul dengan keluarga, dan berseronok. Kini setiap orang memilih siapa yang ingin mereka berurusan. Maklong, pakcik dan pakcik memilih anak-anak yang ingin mereka banggakan. Adik-beradik lebih memperlakukan rakan sebagai keluarga. Sepupu bercakap tentang sesama sendiri seolah-olah mereka tidak mempunyai kelemahan. Datuk nenek menghabiskan masa dengan cucu-cucu tertentu. Dan satu-satunya masa di mana kita dapat melihat semua orang bersama adalah semasa UPACARA PENGEBUMIAN.

2.SUATU HARI NANTI  kalian akan terpaksa menghadapi kematian bapa kalian, dan pada hari itu kalian akan sedar bahawa kalian telah kehilangan lelaki yang sentiasa ingin melihat kalian menjadi TERBAIK DARI SEGI PELAJARAN, PEKERJAAN DAN KEHIDUPAN.

3. Suatu hari nanti APABILA FASA KEHIDUPAN  ibubapa anda berakhir, kalian adalah dan menjadi salah satu fasa yang paling indah semasa mereka hidup. Sentiasa ingati dan simpan ibubapa anda di dalam hati kalian kerana kalian sentiasa ada di dalam hati mereka. Tiada apa dan tiada sesiapa, bahkan masa pun tidak akan pernah mengubahnya.

4. APABILA KITA MENCAPAI USIA 55 atau 60 tahun, kita akan bersara. Tempat kita bekerja mula melupakan kita. Tidak kira setinggi mana pangkat kita dan sehebat apa kita waktu bekerja. Kita akan kembali seperti orang biasa, lepaskan semua ego yang ada. Jangan sombong.

5. JANGAN PERNAH MENYESALI apa-apa yang berlaku dalam hidup anda. Ia tidak boleh diubah, dibatalkan atau dilupakan. Jadi ambillah ia sebagai satu pengajaran dan teruskan ke hadapan.

6. KESIHATAN TIDAK SELALU DATANG DARIPADA UBAT.
Kesihatan tidak selalu datang daripada ubat. Kebanyakan masa ia datang daripada ketenangan fikiran, ketenangan hati, ketenangan jiwa. Ia datang daripada gelak tawa dan kasih sayang. Apabila masa kita di dunia ini berakhir, wang atau benda material tidak akan penting. Tetapi kasih sayang, masa, dan kebaikan yang kita miliki akan kekal.

7. ANDA HANYALAH SALAH SATU PILIHAN
Apabila seseorang memperlakukan anda seolah-olah anda hanyalah salah satu pilihan, bantu mereka menyempitkan pilihan mereka dengan menjauhkan diri anda dari persamaan itu. Kadang-kadang anda perlu cuba untuk tidak ambil peduli, walaupun seberapa banyak anda peduli. Kerana kadang-kadang anda hampir tidak bermakna apa-apa kepada seseorang yang begitu bermakna kepada anda. Ini bukanlah sikap sombong—ini adalah harga diri. Jangan harap untuk melihat perubahan positif dalam hidup anda jika anda mengelilingi diri anda dengan orang-orang negatif. Jangan berikan orang separuh masa jawatan sepenuh masa dalam hidup anda. Kenalilah nilai anda dan apa yang anda tawarkan, dan jangan terima apa-apa yang kurang daripada apa yang anda layakkan.

8. JARAK ADALAH SATU SATUNYA penyelesaian kepada sikap tidak hormat. Jangan bertindak balas, jangan bertengkar, dan jangan terlibat dalam drama. Hanya hilangkan kehadiran anda. Apabila anda menjauh dari situasi atau individu yang tidak hormat, anda melindungi kesejahteraan emosi anda. Ia membolehkan anda menjaga ketenangan dalaman anda dan mengelakkan diri daripada terlibat dalam konflik yang tidak perlu. Jarak memberitahu bahawa anda mempunyai batasan dan mengharapkan untuk diperlakukan dengan hormat.

9. PERHATIKAN DENGAN TELITI
Perhatikan dengan teliti. Jika anda menjadi gemuk, orang menganggap anda makan terlalu banyak. Jika anda kurus, orang menganggap anda sakit. Jika anda berpakaian dengan baik, anda dipandang sombong. Jika anda berpakaian secara sederhana, anda dianggap miskin. Jika anda serius, anda dianggap membosankan. Jika anda lucu, anda dianggap tidak matang. Jika anda lantang bersuara, anda dianggap kasar. Jika anda bujang, orang menganggap anda kesepian. Jika anda berjaya, anda dianggap sombong. Jika anda sedang berjuang, anda dianggap malas. Jika anda jujur, anda dianggap tidak boleh dipercayai. Tidak kira apa yang anda lakukan dalam hidup, orang akan sentiasa mengkritik anda. Jadi lakukanlah apa yang terbaik untuk diri anda atau selamanya anda akan dikawal oleh pendapat orang lain.

Monday, 19 February 2024

Saiful Nang

MAKCIK PAKCIK BUKAN KAKI JENAMA -- Ini pesanan pakcik kepada BBNU dalam pemilihan calon isteri. Pertama sekali, kita ni tak perlu nak hidup dalam penampakan cara T20 kalau kita sekadar M40. Impresi yang salah akan menyebabkan berlakunya penyelewengan tanggapan.
Pakcik selalu pesan jangan terpengaruh sangat dengan filem. Semua itu lakonan. Namun pakcik ada juga ambil pelajaran dari filem seperti Musang Berjanggut dan Bisikan Cinta. 
Dalam kedua filem ini, ada 2 karakter orang kaya. Seorang bangsawan nak cari isteri, menyamar jadi orang bodoh yang longgok semua bahan masak dalam satu karung dan lihat siapa wanita sabar boleh dijadikan isteri. Kedua, seorang usahawan yang sukakan seorang gadis anak nelayan bernama Ayu dan kemudian berpura-pura menjadi orang miskin. Jika Si Gadis masih jatuh hati, ternyata bukan kerana hartanya. Akhirnya Si Lelaki (Azhar Sulaiman) semasa nak meterai kontrak bilion billion dengan Mr. Yamada terjumpa dengan Cik Ayu lalu terkantoi penipuan jejaka itu. 
Satu yang lumrah, penipuan kaya menyamar miskin ini mudah nak dimaafkan. Namun penipuan miskin berlagak kaya jarang-jarang dapat ampun. 
Itu realiti semua. 
Tak perlu menduga sangat.
Jadi sahaja diri sendiri. 
Kerja mudah dan tak perlu jadi plastik.
Pakcik dalam urusan memenangi hati isteri dulu, pakcik tak berlagak kaya pun. Pakcik sekadar menampakkan diri lebih bajet berbanding kemampuan sebenar. Kebetulan Perodua Kembara pakcik kena sondol sampai terbalik di Federal Highway, pakcik bawa Kancil 660 pakcik yang tiada spotrim untuk bawa Makcik keluar. Tak kekok pun makcik naik kancil dengan pakcik. Tak perlu nak sewa kereta bajet T20 untuk terlihat jantan bermutu aras tinggi. 
Makcik pula dari awal pakcik perhati, dari kasut, baju, basikal, beg tangan dan banyak perkara lagi bukan dari yang berjenama. Sederhana sahaja, siap buat part time lagi kerja di pasar mini Sainsbury's semasa di Cambridge sebagai budak penghantar. Sebab itu, pakcik ingat makcik ni B40 macam pakcik. 
Satu ketika semasa pakcik dah berkawan serius dengan makcik, ibu bapanya hubungi pakcik nak berjumpa. Lutut pakcik goyang namun kuatkan juga kerana nak takut apa, kita tak buat salah cuma kurang yakin kerana kita orang biasa-biasa sahaja. 
.
Dalam hati dah siapkan skrip lelaki bermutu tinggi,
.
"Jika mencintai seorang gadis baik yang terdidik oleh ibu bapa yang baik satu kesalahan, saya rela menjadi pesalah itu"
.
Sebenarnya, banyak lagi skrip yang pakcik siakan. Dalam keadaan samar-samar apa punca pakcik dipanggil, pakcik pergi juga dengan kereta Kancil 660 pakcik yang tak ranggi langsung. Spring pun tak potong, body tak lowered dan tiada intercooler serta nose yang garang seperti remaja lain. 
Apabila sampai dalam pertemuan itu, barulah pakcik tahu makcik kau bukan anak orang sembarangan. Anak orang terhormat dan bergelar. Pakcik pula rasa janggal namun tetap berprinsip. Pakcik hadap sahaja pertemuan itu yang lebih nak bertanyakan sama ada pakcik bersungguh-sungguh atau tidak. 
Alhamdulillah, rupanya mudah sahaja. 
Pertemuan pakcik dengan bakal mentua pakcik langsung tidak melibatkan satu pertanyaan tentang aset semasa, penyata cukai, pengesahan pendapatan, penyata bank dan sebagainya. Dengan Kancil 660 parkir di hadapan rumah sahaja dipadan dengan seorang gadis keluarga terhormat, mentua hanya bertanya tentang kesungguhan pakcik sahaja. 
Pakcik ingat lagi kata-kata bakal mentua ketika itu "Kami tiada masalah jika kamu berdua sudah bersungguh-sungguh. Kami tak memilih selagi bukan penagih dadah". 
Berpandukan indeks jisim badan pakcik waktu itu, tiada tanda-tanda langsung pakcik seorang penagih. Kemungkinan itu yang meyakinkan bakal mentua pakcik ketika itu barangkali.
Mudah urusan dengan gadis yang tidak menyembah jenama-jenama. Datang dari ibu bapa yang juga tidak bercitarasa berjenama sehinggakan semasa rombongan peminang pakcik menanyakan berapakah hantaran perkahwinan nanti, selamba dijawab oleh pak mentua pakcik;
"Urusan hantaran ini, kami serah ikut perbincangan anak-anak yang nak bernikah nanti. Kami terima sahaja apapun". 
Berbeza dengan adik pakcik, bila bakal mentua kecundang beliau menyatakan angka tertentu yang senilai MyVii baru koyak plastik. Hanya untuk wang hantaran atas asbab anaknya berstatus doktorat universiti tempatan. Nasib baik pakcik tak kena begitu. 
.
Bukannya kami tak beli yang berjenama. Jika kualitinya baik dan pakainya lama, kami cari yang berjenama juga. Namun jika ada yang berkualiti baik dan tahan lama, kami tak kisah pun jenama apa. Namun bukan untuk tayang tayangan, tetapi keperluan.
Hujung cerita ini, pakcik nak pesan. Jadi diri sendiri seadanya. Nanti orang terima kita pun seadanya juga. Hidup jadi mudah, tak perlu pening-pening. 
Banyak rumahtangga rebah kerana telah bermula dengan impresi palsu gaya Megah Holdings tetapi lepas kahwin baru tahu rupanya mengah nak holdings. 
Pakcik ni tak pandai nak berlagak kaya. Sebab memang lahir dalam estet Bukit Kerayong bermain parit menggagau limbat bersama anak-anak estet sebelum pindah ke ladang Felda. Hidup sangat sukar seperti kerbau balau berselepat lumpur. Jika pergi ke sekolah nampak muka seperti putih berbedak itu bukannya talkum tetapi lumpur menggagau ikan yang dah cuci semasa mandi tetapi bila kering jadi macam bedak. Tiba-tiba nak berlagak macam anak saudagar yang ada banyak kapal, memang tak pandailah pakcik. Dari jauh orang dah nampak kekampungan pakcik.
Bahagia ikut cara kita. 
Kemampuan kita. 
Orang terima seperti mana selayaknya kita. 
Kita tak sepanjang masa akan rasa senang tanpa cabaran. Jika dah dibiasakan pasangan kita termanja dengan harta, mereka akan tinggalkan kita jika kita diduga dengan kekurangan harta. 
Pikat hati mereka dengan budi. 
Kau akan dapat suri hati sehidup semati sekalipun tak berharta. 
.
Sekian cerita pakcik hari ini. 
.
SAIFUL NANG 
Suami Bermutu Tinggi Kos Rendah
.
Notakaki : Ni gambar pakcik dan makcik sedang memadu kasih di ladang anggur di Kawarau semasa bawa trip Rarecation pergi New Zealand. Makcik kena bengkokkan kaki sedikit kerana beliau lebih tinggi dari pakcik semasa berdiri. Dalam keadaan berbaring, pakcik lebih tebal. Allah Maha Adil