Saturday, 15 November 2025

Habislahhhh

KENYATAAN MEDIA BERHUBUNG PERJANJIAN ANTARA AMERIKA SYARIKAT DAN MALAYSIA BERKENAAN PERDAGANGAN TIMBAL BALAS

Kami mengeluarkan kenyataan media ini sebagai Ahli-Ahli Parlimen. Wong Chen ialah Pengerusi semasa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa, namun mengeluarkan kenyataan bersama ini bukan atas kapasiti tersebut tetapi sebagai seorang Ahli Parlimen yang telah mengangkat sumpah untuk memelihara kepercayaan yang benar dan taat setia kepada Malaysia serta mempertahankan Perlembagaan.

Kami merujuk kepada Perjanjian Antara Amerika Syarikat dan Malaysia Berkenaan Perdagangan Timbal Balas (“Perjanjian”) yang telah ditandatangani pada 26 Oktober 2025 di Kuala Lumpur.

Setelah penelitian dan perbincangan yang mendalam, kami yakin bahawa Perjanjian ini sangat berat sebelah dan memihak kepada Amerika Syarikat. Kami juga mengambil maklum bahawa Timbalan Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), YB Liew Chin Tong, dalam satu forum awam pada 3 November 2025, menyatakan bahawa Malaysia telah dipaksa untuk memasuki rundingan ini dan bahawa ia bukan satu perkongsian setara. Tambahan pula, kami yakin, berdasarkan maklum balas rasmi dan kekurangan kejelasan teks Perjanjian, bahawa penandatanganan Perjanjian ini telah dibuat tanpa analisis kos faedah yang komprehensif dan tanpa konsultasi awam yang mencukupi.

Berhubung persoalan politik sama ada Malaysia telah menyerahkan kedaulatannya melalui Perjanjian ini, kami yakin bahawa beberapa Artikel, khususnya tetapi tidak terhad kepada Artikel 5.1, 5.2 dan 5.3, sekiranya dikuatkuasakan oleh Amerika Syarikat dan dipatuhi oleh Malaysia, akan mengehadkan dan menyekat hak kedaulatan Malaysia, memaksa Malaysia untuk sejajar dengan kepentingan keselamatan negara dan ekonomi Amerika Syarikat. Senario ini merupakan satu penyimpangan besar daripada dasar luar dan dasar perdagangan Malaysia yang telah lama berpegang kepada prinsip berkecuali aktif dan keutamaan ASEAN.

Walau bagaimanapun, kami mengambil maklum bahawa Malaysia mempunyai dua pilihan dari segi undang-undang untuk mempertahankan kepentingan kedaulatannya. Pertama, Malaysia boleh memohon pindaan kepada Perjanjian di bawah Artikel 7.3 atau kedua, Malaysia boleh menamatkan Perjanjian di bawah Artikel 7.4. Kami bersetuju dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang pada 30 Oktober 2025 telah menegaskan di Parlimen bahawa Malaysia mempunyai “exit clause” dan boleh menamatkan Perjanjian sebagai jalan keluar daripada persoalan kedaulatan tersebut. Dalam hal yang sama, Jabatan Peguam Negara, pada 3 November 2025, turut mengesahkan bahawa Malaysia mempunyai hak untuk menamatkan Perjanjian melalui notis bertulis kepada Amerika Syarikat.

Kami juga mengambil maklum dengan penuh kebimbangan bahawa terdapat kesan negatif langsung dan tidak langsung daripada Perjanjian ini terhadap Malaysia, termasuk tetapi tidak terhad kepada imbangan dagangan, implikasi fiskal dan aliran keluar pelaburan. Kami juga bimbang bahawa Perjanjian ini boleh menjejaskan Perjanjian Perdagangan Bebas (“FTA”) sedia ada serta perjanjian komersial sedia ada dengan negara ketiga.

Sebaliknya, kami mengakui bahawa terdapat juga beberapa kesan positif daripada Perjanjian ini dalam perkara berkaitan perdagangan digital, semikonduktor dan farmaseutikal. Kami turut mengalu-alukan beberapa artikel dalam Perjanjian yang berkaitan amalan pengawalseliaan yang lebih baik, hak pekerja dan perlindungan alam sekitar.

Kami ingin mengemukakan syor-syor berikut kepada Kerajaan Madani.

1. Kami menyokong sepenuhnya komitmen Kerajaan Madani terhadap tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti. Oleh itu, bagi membuktikan kesungguhan tersebut, kami menggesa Kerajaan Madani untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong agar membentuk satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (“RCI”) untuk menyiasat semua perkara berkaitan penandatanganan Perjanjian ini, khususnya mengenai perkara bahawa Malaysia telah “dipaksa” untuk berunding. Kami juga menginginkan penjelasan mengapa Malaysia memilih sebuah Perjanjian dan bukan sekadar MOU atau Kerangka. Kami percaya bahawa RCI akan membantu memulihkan dan meningkatkan akauntabiliti awam dalam isu kontroversi ini. RCI juga wajar ditugaskan untuk mencadangkan struktur tadbir urus yang lebih kukuh, mekanisme konsultasi awal, serta semak dan imbang dengan tujuan memperbaiki proses perundingan perdagangan pada masa hadapan.

2. Kami menggesa Kerajaan Madani untuk melantik peguam perdagangan antarabangsa serta pakar luar yang berwibawa untuk:

(a) memulakan proses pindaan terhadap artikel Perjanjian yang lebih membebankan dari segi kedaulatan negara;
(b) menjelaskan dan memberi nasihat mengenai semua artikel berkaitan takrifan, skop, tanggungjawab dan penguatkuasaan Perjanjian; dan
(c) menjalankan kajian matriks perundangan terhadap potensi kesan akses pasaran daripada Perjanjian ini terhadap FTA sedia ada dan perjanjian pelbagai hala termasuk tetapi tidak terhad kepada Regional Comprehensive Economic Partnership (“RCEP”), Comprehensive and Progressive Agreement for the Trans-Pacific Partnership (“CPTPP”) dan European Free Trade Association (“EFTA”).

3. Kami menggesa Kerajaan Madani untuk mewujudkan satu pasukan khas yang terdiri daripada pakar perdagangan antarabangsa termasuk ahli ekonomi bagi menjalankan analisis kos-faedah komprehensif ke atas Perjanjian ini untuk mengkaji dan mengunjurkan kesan terhadap termasuk tetapi tidak terhad kepada keluaran dalam negara kasar Malaysia, akses pasaran, imbangan dagangan, kebimbangan mengenai pengaliran keluar mata wang, dan aliran pelaburan antara Amerika Syarikat dan Malaysia serta melaporkan perkara yang sama kepada Parlimen.

4. Kami menggesa Kerajaan Madani untuk mewujudkan satu pasukan penasihat dasar luar pada peringkat tinggi berhubung kesan dan implikasi geopolitik daripada Perjanjian ini terhadap dasar luar dan dasar perdagangan antarabangsa Malaysia berhubung tetapi tidak terhad kepada BRICS, Association of Southeast Asian Nations (“ASEAN”), Organisation of Islamic Cooperation (“OIC”) dan Negara-Negara Selatan Global (“Global South”) serta melaporkan perkara tersebut kepada Parlimen.

5. Kami menggesa MITI untuk menubuhkan satu bahagian khas bagi menyelaras dengan kementerian-kementerian lain untuk memberikan maklumat terkini, menjawab pertanyaan dan berinteraksi dengan para pelabur serta pemimpin industri mengenai perkara yang berkaitan tetapi tidak terhad kepada akses pasaran, reaktor nuklear, mineral kritikal, keselamatan bio, peranti perubatan, farmaseutikal, tenaga kerja, alam sekitar dan perdagangan digital yang berkaitan dengan Perjanjian ini.

13 NOVEMBER 2025

Wong Chen
Ahli Parlimen Subang

Nik Nazmi
Ahli Parlimen Setiawangsa

Rafizi Ramli
Ahli Parlimen Pandan

Perjanjian tersebut boleh diakses melalui pautan laman web ini: https://www.whitehouse.gov/briefings-statements/2025/10/agreement-between-the-united-states-of-america-and-malaysia-on-reciprocal-trade/


Tuesday, 4 November 2025

Ular Lidi bersahabat dengan Anakonda

Minda Presiden PAS

ULAR LIDI BERSAHABATKAN ANAKONDA

Ular lidi ialah ular paling kecil di Malaysia yang tidak berbisa. Adapun anakonda pula ialah ular paling besar berjenama Amerika (di Malaysia disebut ular sawa) yang tidak berbisa, tetapi amat berbahaya dan mudah menelan apa-apa sahaja menjadi makanannya.

Anakonda memakan haiwan besar seperti babi hutan, rusa, tapir, harimau, lembu, kerbau, dan kambing serta boleh menelan haiwan yang bersaiz lebih besar daripadanya dengan membelit sehingga lemah, boleh mematahkan tulang mangsa dengan lilitan yang kuat, dan menelannya sedikit demi sedikit.

Adapun ular lidi pula, makanannya ialah serangga dan binatang kecil seperti cengkerik, lipas, belalang, katak, tikus, dan lain-lain.

Ular lidi memilih anakonda menjadi kawan tempat berlindung kerana melihat badannya yang besar dan gagah, tanpa mengira nafsunya yang rakus dan ketiadaan akalnya.

Lebih malang apabila ular lidi tidak dapat memandang dirinya sendiri, lalu merasakan dirinya sama besar dengan anakonda, namun tidak mampu menangkap babi hutan yang besar. Apabila binatang kecil melarikan diri dari anakonda, maka ular lidi terpaksa mengejarnya dengan payah.

Anakonda pula apabila menghadapi masalah ketiadaan makanan yang mencukupi, maka ular lidi di sebelahnya boleh menjadi makanan gantiannya.

Itulah bandingan persahabatan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat. Maka, pelaburan-pelaburan yang berskala besar menjadi sasaran Amerika Syarikat yang berkuasa besar dan bermodal paling besar.

Adapun Malaysia masih berada pada tahap negara sedang membangun yang sukar mengejar status sebuah negara maju, khususnya yang berkonsepkan kapitalisme yang berlumba-lumba mengejar kepentingannya sahaja yang bersifat penjajahan, tanpa mengira rakan sendiri yang sama besar, apatah lagi rakan yang kecil.

Sejak beberapa abad, negara-negara kecil yang dijajah terus menjadi medan operasi ekonomi negara besar, bukan sekadar medan perang. Walaupun kini telah mencapai kemerdekaan dan penjajah sudah keluar dari negeri jajahan takluknya, bekas jajahan takluk itu terus ada kaitan dengan penjajahnya, khususnya menjadi sumber ekonomi kepada negara penjajah dengan berbagai-bagai ikatan dan beberapa jenama perjanjian kerjasama ekonomi yang menarik.

Ada kalanya negara penjajah itu dijemput dalam persidangan negara-negara bekas jajahan takluknya yang terus menjadikan anakonda sebagai tempat bergantung mereka bagi mencapai kemajuan dan pembangunan.

Sidang Kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) ke-47 baru-baru ini yang menjemput Donald Trump sebagai tetamu paling agung ialah contoh yang nyata.

Kini, negara Amerika Latin menjadi sasaran untuk diserang kerana banyak hasil petroleum dan gas, kerana Amerika Syarikat mahu mencukupkan simpanannya.

Semua negara yang dijajah mempunyai sumber hasil bumi yang kaya, maka mereka menjadi sasaran negara penjajah untuk merampasnya dan memperhambakan rakyatnya. Penjajah meletakkan harga, lalu penduduk tanah jajahan membeli dan menjadi pasarannya mengikut harga yang diletakkan oleh tuan penjajah mereka juga.

Tanah jajahan dijadikan laksana lembu susuan yang diambil susunya dengan bayaran rumput kering dan air bagi mengisi perutnya. Kalau dulu dicucuk hidung, kini dikurung di dalam kandang yang sempit, bersesak, dan berhawa dingin, mudah mengantuk dan tidak berhenti mengunyah rumput, walaupun ketika tidur.

Bahkan, ada kalangan negara penjajah bergantung kepada tanah jajahannya sehingga kaya-raya. Adapun negara-negara bekas jajahannya terus berada dalam kemiskinan dan kemunduran.

Negara kapitalis yang bertuhankan harta kekayaan tidak ada perikemanusiaan terhadap sesama manusia, termasuk rakan sendiri yang boleh ditipu dan dijatuhkan. Kadang-kadang hak asasi kebinatangan lebih penting daripada hak asasi manusia.

Anjing gila kalau dibunuh, nescaya tindakan undang-undang diambil terhadap manusia yang membunuhnya. Binatang buas di hutan rimba pula walau betapa ganasnya, tetap wajib dijaga supaya tidak pupus. Namun, kalau bapa manusia yang memukul anak yang degil, walaupun bertujuan mendidik dan tidak mencederakan, tetap dianggap salah dan boleh dihukum.

Kalau negara besar penjajah menyerang mana-mana negara yang tidak mengikuti arahannya, mereka boleh membunuh dengan senjata pemusnah tanpa sempadan undang-undang, malah tetap dilindungi oleh kuasa veto yang membatalkan segala keputusan untuk menghukumnya. Keadaan ini menyebabkan banyak pemimpin negara yang telah merdeka masih menyembah bekas penjajah mereka.

Negara Arab yang lebih besar pelaburannya daripada Malaysia pun boleh dibiarkan atau dibuli oleh Israel yang dibenarkan bertindak paling zalim dan ganas terhadap agama dan bangsa Arab di Palestin. Contohnya, pencerobohan Israel dalam peristiwa Qatar bagi membunuh anggota Hamas yang wajib dilindungi dari sudut diplomatik. Walaupun ada pangkalan tentera Amerika Syarikat dan sekutunya yang berselerak di situ, Israel masih boleh dibiarkan. Maka, apakah pula kedudukan negara kita yang lebih lemah mahu bersahabat dengan negara besar yang ganas itu?

Kedudukan kita laksana ular lidi yang kecil bersahabat dengan anakonda yang besar, ganas, dan pelahap nafsunya, selain hanya mendapat serangga kecil di sisinya. Kalau anakonda tidak ada makanannya, nescaya kita ditelannya.

Amerika Syarikat yang berperang ekonomi dengan China menjadikan kita berada di barisan hadapan untuk menghadapi musuhnya, sehingga boleh mencetuskan perang ketenteraan. Tambahan pula, rantau ini pernah menjadi medan Perang Dunia Kedua antara Pihak Berikat yang diketuai oleh British menentang Kuasa Paksi yang dianggotai oleh Jepun.

Statistik perang dunia menunjukkan bahawa mangsa korban anak negeri jajahan adalah lebih ramai berbanding bala tentera asing yang bertempur daripada kalangan bala tentera kuasa besar yang terlibat, termasuk wilayah Asia Tenggara. Khususnya, ramai yang dipaksa dan dikerah menjadi bala tentera mereka.

Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengambil langkah yang lain berslogankan ‘Dasar Pandang ke Timur’ serta mementingkan hubungan dagang kerjasama ekonomi dengan negara-negara Asia dan Afrika, termasuk yang paling kecil seperti Fiji, Tonga, dan lain-lain yang lebih kecil daripada Malaysia. Kerjasama ini menjadikan Malaysia tidak berlumba-lumba dan tidak menelan negara lain.

Pada masa pentadbirannya juga, Malaysia mencapai kemajuan sehingga diberikan gelaran ‘Harimau Asia’ dan dihormati di rantau ini. Satu pendekatan yang patut menjadi teladan kepada pemimpin selepasnya.

Walau bagaimanapun, langkah yang diambil oleh Malaysia kini berpihak kepada Blok Amerika dalam perang dingin ekonomi dengan Blok Rusia dan China, mengundang kembali bahaya yang pernah menimpa rantau ini.

British yang jauh dari kita berada dalam keadaan lebih selamat semasa Perang Dunia Kedua apabila kita menjadi proksinya. Kini, kita memilih menjadi proksi Amerika Syarikat yang dilihat sangat kuat pada zahirnya. Tindakan gopoh oleh pemimpin yang sangat lemah ini boleh dipergunakan oleh kuasa besar yang jauh kedudukannya dari negara kita.

Al-Quran menceritakan teladan daripada semut sebagai binatang paling lemah ketika menghadapi kedatangan Nabi Sulaiman AS, raja kuasa paling besar dalam sejarah manusia:

وَحُشِرَ لِسُلَيۡمَٰنَ جُنُودُهُۥ مِنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِ وَٱلطَّيۡرِ فَهُمۡ يُوزَعُونَ ١٧ حَتَّىٰٓ إِذَآ أَتَوۡاْ عَلَىٰ وَادِ ٱلنَّمۡلِ قَالَتۡ نَمۡلَةٞ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّمۡلُ ٱدۡخُلُواْ مَسَٰكِنَكُمۡ لَا يَحۡطِمَنَّكُمۡ سُلَيۡمَٰنُ وَجُنُودُهُۥ وَهُمۡ لَا يَشۡعُرُونَ ١٨ فَتَبَسَّمَ ضَاحِكٗا مِّن قَوۡلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوۡزِعۡنِيٓ أَنۡ أَشۡكُرَ نِعۡمَتَكَ ٱلَّتِيٓ أَنۡعَمۡتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَٰلِدَيَّ وَأَنۡ أَعۡمَلَ صَٰلِحٗا تَرۡضَىٰهُ وَأَدۡخِلۡنِي بِرَحۡمَتِكَ فِي عِبَادِكَ ٱلصَّـٰلِحِينَ ١٩

“Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya daripada jin, manusia, dan burung, lalu mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan). (17) Hingga apabila mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut, ‘Wahai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari!’ (18) Maka, dia (Sulaiman) tersenyum dengan tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu, dan dia berdoa, ‘Wahai Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri ni‘mat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua-dua ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh.’ (19)” [Surah al-Naml: 17–19]

Demikianlah contoh kuasa besar Islam yang adil dan bertawaduk (tidak takabbur). Binatang yang lemah pula mempertahankan kaumnya dengan berani.

Para ulama’ menambah cerita bahawa Nabi Sulaiman AS memanggil pemimpin semut, lalu berkata:

‌لِمَ ‌حَذَّرْتِ ‌النَّمْلَ؟ هَلْ سَمِعْتُمْ إِنِّي ظَالِمٌ؟ أَمَا عَلِمْتُمْ أَنِّي نَبِيٌّ عَدْلٌ؟ فَلِمَ قُلْتِ: لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمانُ وَجُنُودُهُ.

“Mengapa kamu memberikan amaran kepada rakyatmu? Adakah kamu pernah mendengar bahawa aku ialah seorang yang zalim? Adakah kamu tidak tahu bahawa aku adalah Nabi (yang diutuskan oleh Allah) yang wajib bersifat dengan adil? Dan kenapa kamu mengatakan (kepada semut yang lain) agar tidak dibiarkan Sulaiman dan tenteranya memijak dan membinasakan kamu?”

Raja semut menjawab:

يَا نَبِيَّ اللهِ أَمَا سَمِعْتَ قَوْلِي "وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ".

“Wahai Nabi Allah! Adakah kamu tidak mendengar ucapanku, ‘Mereka tidak menyedari kedatanganmu (tidak sengaja terpijak).’” [Abu Ishaq al-Tsa‘labi, Qasas al-Anbiya’, ms. 325-326]

Beranikah pemimpin kita yang menari bersama-sama pemimpin yang nyata kesombongannya serta berfikir dan merancang berkonsepkan kapitalisme dan kolonialisme, yang hanya mendatangkan keuntungan besar bagi sebelah pihak sahaja?

Adakah kita hanya mahu membiarkan sahaja pemimpin yang boleh berubah warna dalam sekelip mata ini seperti boleh berceramah agama, kemudian menjadi penyanyi yang bersuara mengikut apa-apa sahaja iramanya, kemudian menjadi penari yang lincah berpeluh kerana berlagak apa-apa sahaja di hadapan tuannya? Begitulah wajah politiknya yang tidak istiqamah. Lemahnya laksana ular lidi yang hina dan tidak mampu melawan gergasi anakonda yang ganas.

Ambillah teladan daripada pemimpin semut yang kecil yang mempertahankan kaumnya yang lemah dengan suara hati yang ikhlas, sehingga menembusi hati Nabi Sulaiman AS yang paling besar kerajaannya dalam sejarah manusia.

Sepatutnya, kerjasama dengan negara jiran terdekat dan negara sahabat yang boleh dipercayai hendaklah diutamakan dalam hubungan antara negara dalam aspek politik, ekonomi, dan ketenteraan sebagai langkah paling selamat bagi menjadi umat yang gagah perkasa dan mulia.

Jadilah sebaik-baik umat yang ditunjukkan oleh Allah SWT:

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡكِتَٰبِ لَكَانَ خَيۡرٗا لَّهُمۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَكۡثَرُهُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ١١٠ لَن يَضُرُّوكُمۡ إِلَّآ أَذٗىۖ وَإِن يُقَٰتِلُوكُمۡ يُوَلُّوكُمُ ٱلۡأَدۡبَارَ ثُمَّ لَا يُنصَرُونَ ١١١

“Kamu ialah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma‘ruf, mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka ialah orang-orang yang fasiq. (110) Mereka sekali-kali tidak akan dapat membuat mudarat kepada kamu selain gangguan-gangguan celaan saja, dan jika mereka berperang dengan kamu, pastilah mereka berbalik melarikan diri ke belakang (kalah). Kemudian, mereka tidak mendapat pertolongan. (111)” [Surah Ali ‘Imran: 110–111]

Bergantunglah pada kekuatan sendiri bersama Islam yang mulia yang diletakkan di kawasan bumi paling berkat dengan sumber alam. Kedudukannya di dalam peta dunia dari timur sehingga barat boleh mengawal samudera yang luas melalui Selat Melaka, Bab al-Mandab, Terusan Suez sehingga Gibraltar (Jabal Tariq).

Dunia Islam turut merangkumi Laluan Sutera yang panjang di Asia Tengah dari Turkiye sehingga China. Kalau perpaduan umat diwujudkan, nescaya akan menjadi satu kekuatan yang besar seperti yang pernah ditempa dalam sejarahnya.

Bumi Islam pula kaya dengan kekayaan hasil sumber alam yang asasi dan mampu menjadi teras kekuatan ekonomi yang tidak ada pada negara lain.

Di samping itu, Dunia Islam juga mempunyai tenaga manusia, kepakaran, dan tenaga kerja yang mencukupi. Dunia Islam pernah mencipta tamadun dunia yang unggul serta menjadi umat yang gagah perkasa pada zaman keemasannya, yang boleh dikembalikan bila-bila masa sahaja.

Malaysia juga mempunyai sumber kebendaan dan kemanusiaan, tetapi malangnya tidak diurus dengan baik, termasuk memilih kawan yang salah.

Kapitalisme Amerika sedang merudum. Mereka meraba-raba mana-mana negara bagi menyelamatkan keadaannya. Maka, negara kecil Malaysia ikut menjadi sasaran kempen bagi menyelamatkannya. Media antarabangsa tidak boleh menyembunyikan lagi krisis dalaman yang berlaku. Hanya kerana saiznya yang besar, menjadikan krisis dalamannya tidak banyak kelihatan.

Firman Allah SWT:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]
 
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 14 Jumada al-Ula 1447 / 5 November 2025

[Bil: 77 / 2025]