Friday, 26 August 2022

Luahan hati Nizar Najib

Assalamualaikum dan selamat sejahtera kepada sahabat-sahabat FB dan media sosial,

Saya dan ahli keluarga amat dukacita dengan keputusan mahkamah semalam. Ayahanda Najib Razak telah cuba sedaya upaya untuk membela diri di mahkamah namun keputusan jelas dan langsung tidak memihak kepada beliau. Mereka yang mengikuti dengan dekat kes ini boleh membuat kesimpulan masing-masing.

Berat ujian dan dugaannya kali ini buat Saya dan keluarga. Namun, kita perlu yakin akan ketentuan dan perancangan Allah SWT yang Maha Esa, Maha Berkuasa. Usaha untuk membela dan membantu Ayahanda tetap akan diteruskan. 

Saya dan sahabat-sahabat boleh mengambil iktibar daripada kebangkitan Ayahanda sejurus selepas PRU14. Walaupun ketika itu ada yang menganggap Ayahanda sudah tidak relevan dan ditinggalkan ramai orang, beliau masih mampu bangkit semula dengan fenomena Bossku serta pergerakan media sosial yang padu. 

Dengan semangat juang yang tinggi ini beliau dapat membantu jentera Barisan Nasional serta UMNO menang  dan menawan semula kerusi mahupun negeri di siri-siri Pilihanraya kecil (PRK) dan Pilihanraya Negeri (PRN).

Semasa mentadbir, beliau dikenali sebagai seorang yang banyak membantu masyarakat umum di semua lapisan, tanpa mengira warna kulit dan kaum. Begitu banyak program dan inisiatif dilaksanakan untuk rakyat jelata dan B40.

Dengan kesempatan ini Saya dan keluarga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua sahabat-sahabat yang hadir di mahkamah dan yang berdoa serta bersolat hajat dari jauh. Ramai yang menghantar mesej dorongan dan sokongan melalui saluran whatssap dan media sosial.

Hanya Allah SWT yang mampu membalas jasa baik kalian semua.

Saya dan keluarga sudah tentu memerlukan sedikit masa untuk menerima realiti peristiwa sedih ini. 

Sama-samalah kita doakan Ayahanda Najib Razak sentiasa selamat dan di bawah perlindungan Allah SWT.

Terima kasih

No comments:

Post a Comment