Saturday, 15 November 2025

Habislahhhh

KENYATAAN MEDIA BERHUBUNG PERJANJIAN ANTARA AMERIKA SYARIKAT DAN MALAYSIA BERKENAAN PERDAGANGAN TIMBAL BALAS

Kami mengeluarkan kenyataan media ini sebagai Ahli-Ahli Parlimen. Wong Chen ialah Pengerusi semasa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa, namun mengeluarkan kenyataan bersama ini bukan atas kapasiti tersebut tetapi sebagai seorang Ahli Parlimen yang telah mengangkat sumpah untuk memelihara kepercayaan yang benar dan taat setia kepada Malaysia serta mempertahankan Perlembagaan.

Kami merujuk kepada Perjanjian Antara Amerika Syarikat dan Malaysia Berkenaan Perdagangan Timbal Balas (“Perjanjian”) yang telah ditandatangani pada 26 Oktober 2025 di Kuala Lumpur.

Setelah penelitian dan perbincangan yang mendalam, kami yakin bahawa Perjanjian ini sangat berat sebelah dan memihak kepada Amerika Syarikat. Kami juga mengambil maklum bahawa Timbalan Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), YB Liew Chin Tong, dalam satu forum awam pada 3 November 2025, menyatakan bahawa Malaysia telah dipaksa untuk memasuki rundingan ini dan bahawa ia bukan satu perkongsian setara. Tambahan pula, kami yakin, berdasarkan maklum balas rasmi dan kekurangan kejelasan teks Perjanjian, bahawa penandatanganan Perjanjian ini telah dibuat tanpa analisis kos faedah yang komprehensif dan tanpa konsultasi awam yang mencukupi.

Berhubung persoalan politik sama ada Malaysia telah menyerahkan kedaulatannya melalui Perjanjian ini, kami yakin bahawa beberapa Artikel, khususnya tetapi tidak terhad kepada Artikel 5.1, 5.2 dan 5.3, sekiranya dikuatkuasakan oleh Amerika Syarikat dan dipatuhi oleh Malaysia, akan mengehadkan dan menyekat hak kedaulatan Malaysia, memaksa Malaysia untuk sejajar dengan kepentingan keselamatan negara dan ekonomi Amerika Syarikat. Senario ini merupakan satu penyimpangan besar daripada dasar luar dan dasar perdagangan Malaysia yang telah lama berpegang kepada prinsip berkecuali aktif dan keutamaan ASEAN.

Walau bagaimanapun, kami mengambil maklum bahawa Malaysia mempunyai dua pilihan dari segi undang-undang untuk mempertahankan kepentingan kedaulatannya. Pertama, Malaysia boleh memohon pindaan kepada Perjanjian di bawah Artikel 7.3 atau kedua, Malaysia boleh menamatkan Perjanjian di bawah Artikel 7.4. Kami bersetuju dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang pada 30 Oktober 2025 telah menegaskan di Parlimen bahawa Malaysia mempunyai “exit clause” dan boleh menamatkan Perjanjian sebagai jalan keluar daripada persoalan kedaulatan tersebut. Dalam hal yang sama, Jabatan Peguam Negara, pada 3 November 2025, turut mengesahkan bahawa Malaysia mempunyai hak untuk menamatkan Perjanjian melalui notis bertulis kepada Amerika Syarikat.

Kami juga mengambil maklum dengan penuh kebimbangan bahawa terdapat kesan negatif langsung dan tidak langsung daripada Perjanjian ini terhadap Malaysia, termasuk tetapi tidak terhad kepada imbangan dagangan, implikasi fiskal dan aliran keluar pelaburan. Kami juga bimbang bahawa Perjanjian ini boleh menjejaskan Perjanjian Perdagangan Bebas (“FTA”) sedia ada serta perjanjian komersial sedia ada dengan negara ketiga.

Sebaliknya, kami mengakui bahawa terdapat juga beberapa kesan positif daripada Perjanjian ini dalam perkara berkaitan perdagangan digital, semikonduktor dan farmaseutikal. Kami turut mengalu-alukan beberapa artikel dalam Perjanjian yang berkaitan amalan pengawalseliaan yang lebih baik, hak pekerja dan perlindungan alam sekitar.

Kami ingin mengemukakan syor-syor berikut kepada Kerajaan Madani.

1. Kami menyokong sepenuhnya komitmen Kerajaan Madani terhadap tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti. Oleh itu, bagi membuktikan kesungguhan tersebut, kami menggesa Kerajaan Madani untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong agar membentuk satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (“RCI”) untuk menyiasat semua perkara berkaitan penandatanganan Perjanjian ini, khususnya mengenai perkara bahawa Malaysia telah “dipaksa” untuk berunding. Kami juga menginginkan penjelasan mengapa Malaysia memilih sebuah Perjanjian dan bukan sekadar MOU atau Kerangka. Kami percaya bahawa RCI akan membantu memulihkan dan meningkatkan akauntabiliti awam dalam isu kontroversi ini. RCI juga wajar ditugaskan untuk mencadangkan struktur tadbir urus yang lebih kukuh, mekanisme konsultasi awal, serta semak dan imbang dengan tujuan memperbaiki proses perundingan perdagangan pada masa hadapan.

2. Kami menggesa Kerajaan Madani untuk melantik peguam perdagangan antarabangsa serta pakar luar yang berwibawa untuk:

(a) memulakan proses pindaan terhadap artikel Perjanjian yang lebih membebankan dari segi kedaulatan negara;
(b) menjelaskan dan memberi nasihat mengenai semua artikel berkaitan takrifan, skop, tanggungjawab dan penguatkuasaan Perjanjian; dan
(c) menjalankan kajian matriks perundangan terhadap potensi kesan akses pasaran daripada Perjanjian ini terhadap FTA sedia ada dan perjanjian pelbagai hala termasuk tetapi tidak terhad kepada Regional Comprehensive Economic Partnership (“RCEP”), Comprehensive and Progressive Agreement for the Trans-Pacific Partnership (“CPTPP”) dan European Free Trade Association (“EFTA”).

3. Kami menggesa Kerajaan Madani untuk mewujudkan satu pasukan khas yang terdiri daripada pakar perdagangan antarabangsa termasuk ahli ekonomi bagi menjalankan analisis kos-faedah komprehensif ke atas Perjanjian ini untuk mengkaji dan mengunjurkan kesan terhadap termasuk tetapi tidak terhad kepada keluaran dalam negara kasar Malaysia, akses pasaran, imbangan dagangan, kebimbangan mengenai pengaliran keluar mata wang, dan aliran pelaburan antara Amerika Syarikat dan Malaysia serta melaporkan perkara yang sama kepada Parlimen.

4. Kami menggesa Kerajaan Madani untuk mewujudkan satu pasukan penasihat dasar luar pada peringkat tinggi berhubung kesan dan implikasi geopolitik daripada Perjanjian ini terhadap dasar luar dan dasar perdagangan antarabangsa Malaysia berhubung tetapi tidak terhad kepada BRICS, Association of Southeast Asian Nations (“ASEAN”), Organisation of Islamic Cooperation (“OIC”) dan Negara-Negara Selatan Global (“Global South”) serta melaporkan perkara tersebut kepada Parlimen.

5. Kami menggesa MITI untuk menubuhkan satu bahagian khas bagi menyelaras dengan kementerian-kementerian lain untuk memberikan maklumat terkini, menjawab pertanyaan dan berinteraksi dengan para pelabur serta pemimpin industri mengenai perkara yang berkaitan tetapi tidak terhad kepada akses pasaran, reaktor nuklear, mineral kritikal, keselamatan bio, peranti perubatan, farmaseutikal, tenaga kerja, alam sekitar dan perdagangan digital yang berkaitan dengan Perjanjian ini.

13 NOVEMBER 2025

Wong Chen
Ahli Parlimen Subang

Nik Nazmi
Ahli Parlimen Setiawangsa

Rafizi Ramli
Ahli Parlimen Pandan

Perjanjian tersebut boleh diakses melalui pautan laman web ini: https://www.whitehouse.gov/briefings-statements/2025/10/agreement-between-the-united-states-of-america-and-malaysia-on-reciprocal-trade/


Tuesday, 4 November 2025

Ular Lidi bersahabat dengan Anakonda

Minda Presiden PAS

ULAR LIDI BERSAHABATKAN ANAKONDA

Ular lidi ialah ular paling kecil di Malaysia yang tidak berbisa. Adapun anakonda pula ialah ular paling besar berjenama Amerika (di Malaysia disebut ular sawa) yang tidak berbisa, tetapi amat berbahaya dan mudah menelan apa-apa sahaja menjadi makanannya.

Anakonda memakan haiwan besar seperti babi hutan, rusa, tapir, harimau, lembu, kerbau, dan kambing serta boleh menelan haiwan yang bersaiz lebih besar daripadanya dengan membelit sehingga lemah, boleh mematahkan tulang mangsa dengan lilitan yang kuat, dan menelannya sedikit demi sedikit.

Adapun ular lidi pula, makanannya ialah serangga dan binatang kecil seperti cengkerik, lipas, belalang, katak, tikus, dan lain-lain.

Ular lidi memilih anakonda menjadi kawan tempat berlindung kerana melihat badannya yang besar dan gagah, tanpa mengira nafsunya yang rakus dan ketiadaan akalnya.

Lebih malang apabila ular lidi tidak dapat memandang dirinya sendiri, lalu merasakan dirinya sama besar dengan anakonda, namun tidak mampu menangkap babi hutan yang besar. Apabila binatang kecil melarikan diri dari anakonda, maka ular lidi terpaksa mengejarnya dengan payah.

Anakonda pula apabila menghadapi masalah ketiadaan makanan yang mencukupi, maka ular lidi di sebelahnya boleh menjadi makanan gantiannya.

Itulah bandingan persahabatan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat. Maka, pelaburan-pelaburan yang berskala besar menjadi sasaran Amerika Syarikat yang berkuasa besar dan bermodal paling besar.

Adapun Malaysia masih berada pada tahap negara sedang membangun yang sukar mengejar status sebuah negara maju, khususnya yang berkonsepkan kapitalisme yang berlumba-lumba mengejar kepentingannya sahaja yang bersifat penjajahan, tanpa mengira rakan sendiri yang sama besar, apatah lagi rakan yang kecil.

Sejak beberapa abad, negara-negara kecil yang dijajah terus menjadi medan operasi ekonomi negara besar, bukan sekadar medan perang. Walaupun kini telah mencapai kemerdekaan dan penjajah sudah keluar dari negeri jajahan takluknya, bekas jajahan takluk itu terus ada kaitan dengan penjajahnya, khususnya menjadi sumber ekonomi kepada negara penjajah dengan berbagai-bagai ikatan dan beberapa jenama perjanjian kerjasama ekonomi yang menarik.

Ada kalanya negara penjajah itu dijemput dalam persidangan negara-negara bekas jajahan takluknya yang terus menjadikan anakonda sebagai tempat bergantung mereka bagi mencapai kemajuan dan pembangunan.

Sidang Kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) ke-47 baru-baru ini yang menjemput Donald Trump sebagai tetamu paling agung ialah contoh yang nyata.

Kini, negara Amerika Latin menjadi sasaran untuk diserang kerana banyak hasil petroleum dan gas, kerana Amerika Syarikat mahu mencukupkan simpanannya.

Semua negara yang dijajah mempunyai sumber hasil bumi yang kaya, maka mereka menjadi sasaran negara penjajah untuk merampasnya dan memperhambakan rakyatnya. Penjajah meletakkan harga, lalu penduduk tanah jajahan membeli dan menjadi pasarannya mengikut harga yang diletakkan oleh tuan penjajah mereka juga.

Tanah jajahan dijadikan laksana lembu susuan yang diambil susunya dengan bayaran rumput kering dan air bagi mengisi perutnya. Kalau dulu dicucuk hidung, kini dikurung di dalam kandang yang sempit, bersesak, dan berhawa dingin, mudah mengantuk dan tidak berhenti mengunyah rumput, walaupun ketika tidur.

Bahkan, ada kalangan negara penjajah bergantung kepada tanah jajahannya sehingga kaya-raya. Adapun negara-negara bekas jajahannya terus berada dalam kemiskinan dan kemunduran.

Negara kapitalis yang bertuhankan harta kekayaan tidak ada perikemanusiaan terhadap sesama manusia, termasuk rakan sendiri yang boleh ditipu dan dijatuhkan. Kadang-kadang hak asasi kebinatangan lebih penting daripada hak asasi manusia.

Anjing gila kalau dibunuh, nescaya tindakan undang-undang diambil terhadap manusia yang membunuhnya. Binatang buas di hutan rimba pula walau betapa ganasnya, tetap wajib dijaga supaya tidak pupus. Namun, kalau bapa manusia yang memukul anak yang degil, walaupun bertujuan mendidik dan tidak mencederakan, tetap dianggap salah dan boleh dihukum.

Kalau negara besar penjajah menyerang mana-mana negara yang tidak mengikuti arahannya, mereka boleh membunuh dengan senjata pemusnah tanpa sempadan undang-undang, malah tetap dilindungi oleh kuasa veto yang membatalkan segala keputusan untuk menghukumnya. Keadaan ini menyebabkan banyak pemimpin negara yang telah merdeka masih menyembah bekas penjajah mereka.

Negara Arab yang lebih besar pelaburannya daripada Malaysia pun boleh dibiarkan atau dibuli oleh Israel yang dibenarkan bertindak paling zalim dan ganas terhadap agama dan bangsa Arab di Palestin. Contohnya, pencerobohan Israel dalam peristiwa Qatar bagi membunuh anggota Hamas yang wajib dilindungi dari sudut diplomatik. Walaupun ada pangkalan tentera Amerika Syarikat dan sekutunya yang berselerak di situ, Israel masih boleh dibiarkan. Maka, apakah pula kedudukan negara kita yang lebih lemah mahu bersahabat dengan negara besar yang ganas itu?

Kedudukan kita laksana ular lidi yang kecil bersahabat dengan anakonda yang besar, ganas, dan pelahap nafsunya, selain hanya mendapat serangga kecil di sisinya. Kalau anakonda tidak ada makanannya, nescaya kita ditelannya.

Amerika Syarikat yang berperang ekonomi dengan China menjadikan kita berada di barisan hadapan untuk menghadapi musuhnya, sehingga boleh mencetuskan perang ketenteraan. Tambahan pula, rantau ini pernah menjadi medan Perang Dunia Kedua antara Pihak Berikat yang diketuai oleh British menentang Kuasa Paksi yang dianggotai oleh Jepun.

Statistik perang dunia menunjukkan bahawa mangsa korban anak negeri jajahan adalah lebih ramai berbanding bala tentera asing yang bertempur daripada kalangan bala tentera kuasa besar yang terlibat, termasuk wilayah Asia Tenggara. Khususnya, ramai yang dipaksa dan dikerah menjadi bala tentera mereka.

Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengambil langkah yang lain berslogankan ‘Dasar Pandang ke Timur’ serta mementingkan hubungan dagang kerjasama ekonomi dengan negara-negara Asia dan Afrika, termasuk yang paling kecil seperti Fiji, Tonga, dan lain-lain yang lebih kecil daripada Malaysia. Kerjasama ini menjadikan Malaysia tidak berlumba-lumba dan tidak menelan negara lain.

Pada masa pentadbirannya juga, Malaysia mencapai kemajuan sehingga diberikan gelaran ‘Harimau Asia’ dan dihormati di rantau ini. Satu pendekatan yang patut menjadi teladan kepada pemimpin selepasnya.

Walau bagaimanapun, langkah yang diambil oleh Malaysia kini berpihak kepada Blok Amerika dalam perang dingin ekonomi dengan Blok Rusia dan China, mengundang kembali bahaya yang pernah menimpa rantau ini.

British yang jauh dari kita berada dalam keadaan lebih selamat semasa Perang Dunia Kedua apabila kita menjadi proksinya. Kini, kita memilih menjadi proksi Amerika Syarikat yang dilihat sangat kuat pada zahirnya. Tindakan gopoh oleh pemimpin yang sangat lemah ini boleh dipergunakan oleh kuasa besar yang jauh kedudukannya dari negara kita.

Al-Quran menceritakan teladan daripada semut sebagai binatang paling lemah ketika menghadapi kedatangan Nabi Sulaiman AS, raja kuasa paling besar dalam sejarah manusia:

وَحُشِرَ لِسُلَيۡمَٰنَ جُنُودُهُۥ مِنَ ٱلۡجِنِّ وَٱلۡإِنسِ وَٱلطَّيۡرِ فَهُمۡ يُوزَعُونَ ١٧ حَتَّىٰٓ إِذَآ أَتَوۡاْ عَلَىٰ وَادِ ٱلنَّمۡلِ قَالَتۡ نَمۡلَةٞ يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّمۡلُ ٱدۡخُلُواْ مَسَٰكِنَكُمۡ لَا يَحۡطِمَنَّكُمۡ سُلَيۡمَٰنُ وَجُنُودُهُۥ وَهُمۡ لَا يَشۡعُرُونَ ١٨ فَتَبَسَّمَ ضَاحِكٗا مِّن قَوۡلِهَا وَقَالَ رَبِّ أَوۡزِعۡنِيٓ أَنۡ أَشۡكُرَ نِعۡمَتَكَ ٱلَّتِيٓ أَنۡعَمۡتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَٰلِدَيَّ وَأَنۡ أَعۡمَلَ صَٰلِحٗا تَرۡضَىٰهُ وَأَدۡخِلۡنِي بِرَحۡمَتِكَ فِي عِبَادِكَ ٱلصَّـٰلِحِينَ ١٩

“Dan dihimpunkan untuk Sulaiman tenteranya daripada jin, manusia, dan burung, lalu mereka itu diatur dengan tertib (dalam barisan). (17) Hingga apabila mereka sampai di lembah semut, berkatalah seekor semut, ‘Wahai semut-semut, masuklah ke dalam sarang-sarangmu agar kamu tidak diinjak oleh Sulaiman dan tenteranya, sedangkan mereka tidak menyedari!’ (18) Maka, dia (Sulaiman) tersenyum dengan tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu, dan dia berdoa, ‘Wahai Tuhanku, berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri ni‘mat-Mu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada kedua-dua ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah aku dengan rahmat-Mu dalam golongan hamba-hamba-Mu yang soleh.’ (19)” [Surah al-Naml: 17–19]

Demikianlah contoh kuasa besar Islam yang adil dan bertawaduk (tidak takabbur). Binatang yang lemah pula mempertahankan kaumnya dengan berani.

Para ulama’ menambah cerita bahawa Nabi Sulaiman AS memanggil pemimpin semut, lalu berkata:

‌لِمَ ‌حَذَّرْتِ ‌النَّمْلَ؟ هَلْ سَمِعْتُمْ إِنِّي ظَالِمٌ؟ أَمَا عَلِمْتُمْ أَنِّي نَبِيٌّ عَدْلٌ؟ فَلِمَ قُلْتِ: لَا يَحْطِمَنَّكُمْ سُلَيْمانُ وَجُنُودُهُ.

“Mengapa kamu memberikan amaran kepada rakyatmu? Adakah kamu pernah mendengar bahawa aku ialah seorang yang zalim? Adakah kamu tidak tahu bahawa aku adalah Nabi (yang diutuskan oleh Allah) yang wajib bersifat dengan adil? Dan kenapa kamu mengatakan (kepada semut yang lain) agar tidak dibiarkan Sulaiman dan tenteranya memijak dan membinasakan kamu?”

Raja semut menjawab:

يَا نَبِيَّ اللهِ أَمَا سَمِعْتَ قَوْلِي "وَهُمْ لَا يَشْعُرُونَ".

“Wahai Nabi Allah! Adakah kamu tidak mendengar ucapanku, ‘Mereka tidak menyedari kedatanganmu (tidak sengaja terpijak).’” [Abu Ishaq al-Tsa‘labi, Qasas al-Anbiya’, ms. 325-326]

Beranikah pemimpin kita yang menari bersama-sama pemimpin yang nyata kesombongannya serta berfikir dan merancang berkonsepkan kapitalisme dan kolonialisme, yang hanya mendatangkan keuntungan besar bagi sebelah pihak sahaja?

Adakah kita hanya mahu membiarkan sahaja pemimpin yang boleh berubah warna dalam sekelip mata ini seperti boleh berceramah agama, kemudian menjadi penyanyi yang bersuara mengikut apa-apa sahaja iramanya, kemudian menjadi penari yang lincah berpeluh kerana berlagak apa-apa sahaja di hadapan tuannya? Begitulah wajah politiknya yang tidak istiqamah. Lemahnya laksana ular lidi yang hina dan tidak mampu melawan gergasi anakonda yang ganas.

Ambillah teladan daripada pemimpin semut yang kecil yang mempertahankan kaumnya yang lemah dengan suara hati yang ikhlas, sehingga menembusi hati Nabi Sulaiman AS yang paling besar kerajaannya dalam sejarah manusia.

Sepatutnya, kerjasama dengan negara jiran terdekat dan negara sahabat yang boleh dipercayai hendaklah diutamakan dalam hubungan antara negara dalam aspek politik, ekonomi, dan ketenteraan sebagai langkah paling selamat bagi menjadi umat yang gagah perkasa dan mulia.

Jadilah sebaik-baik umat yang ditunjukkan oleh Allah SWT:

كُنتُمۡ خَيۡرَ أُمَّةٍ أُخۡرِجَتۡ لِلنَّاسِ تَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَتَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِ وَتُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِۗ وَلَوۡ ءَامَنَ أَهۡلُ ٱلۡكِتَٰبِ لَكَانَ خَيۡرٗا لَّهُمۚ مِّنۡهُمُ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ وَأَكۡثَرُهُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ ١١٠ لَن يَضُرُّوكُمۡ إِلَّآ أَذٗىۖ وَإِن يُقَٰتِلُوكُمۡ يُوَلُّوكُمُ ٱلۡأَدۡبَارَ ثُمَّ لَا يُنصَرُونَ ١١١

“Kamu ialah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma‘ruf, mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka ialah orang-orang yang fasiq. (110) Mereka sekali-kali tidak akan dapat membuat mudarat kepada kamu selain gangguan-gangguan celaan saja, dan jika mereka berperang dengan kamu, pastilah mereka berbalik melarikan diri ke belakang (kalah). Kemudian, mereka tidak mendapat pertolongan. (111)” [Surah Ali ‘Imran: 110–111]

Bergantunglah pada kekuatan sendiri bersama Islam yang mulia yang diletakkan di kawasan bumi paling berkat dengan sumber alam. Kedudukannya di dalam peta dunia dari timur sehingga barat boleh mengawal samudera yang luas melalui Selat Melaka, Bab al-Mandab, Terusan Suez sehingga Gibraltar (Jabal Tariq).

Dunia Islam turut merangkumi Laluan Sutera yang panjang di Asia Tengah dari Turkiye sehingga China. Kalau perpaduan umat diwujudkan, nescaya akan menjadi satu kekuatan yang besar seperti yang pernah ditempa dalam sejarahnya.

Bumi Islam pula kaya dengan kekayaan hasil sumber alam yang asasi dan mampu menjadi teras kekuatan ekonomi yang tidak ada pada negara lain.

Di samping itu, Dunia Islam juga mempunyai tenaga manusia, kepakaran, dan tenaga kerja yang mencukupi. Dunia Islam pernah mencipta tamadun dunia yang unggul serta menjadi umat yang gagah perkasa pada zaman keemasannya, yang boleh dikembalikan bila-bila masa sahaja.

Malaysia juga mempunyai sumber kebendaan dan kemanusiaan, tetapi malangnya tidak diurus dengan baik, termasuk memilih kawan yang salah.

Kapitalisme Amerika sedang merudum. Mereka meraba-raba mana-mana negara bagi menyelamatkan keadaannya. Maka, negara kecil Malaysia ikut menjadi sasaran kempen bagi menyelamatkannya. Media antarabangsa tidak boleh menyembunyikan lagi krisis dalaman yang berlaku. Hanya kerana saiznya yang besar, menjadikan krisis dalamannya tidak banyak kelihatan.

Firman Allah SWT:

ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” [Surah al-Rum: 41]
 
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS

Bertarikh: 14 Jumada al-Ula 1447 / 5 November 2025

[Bil: 77 / 2025]

Saturday, 9 August 2025

Puisi untuk Zara Qairina

BUNGA YANG DIPATAH SEBELUM MEKAR

 PUISI KHAS UNTUK ZARA QAIRANA DARI Muhammad Syazwan 

Di bumi Sabah yang indah,
di bawah awan putih yang damai,
hidup seorang gadis bernama Zara Qairana Mahathir.
Tiga belas tahun usianya, 
usia yang sepatutnya dihiasi tawa,
masa untuk belajar, bermain, dan membina mimpi.

Kau anak yang sopan,
senyummu lembut,
kata-katamu halus,
tak pernah menyakitkan hati sesiapa.
Ibumu menghantar kau ke asrama
dengan harapan ilmu akan menjadi pelita hidupmu,
tanpa tahu bahawa bangunan itu
juga menyimpan bayang gelap yang menyesakkan dada.

Di malam-malam sunyi,
ketika rakan-rakan lain lena,
kau memendam rasa,
menelan arahan dan pandangan yang membuat kau gusar.
Ada barang hilang,
ada masa yang diambil tanpa rela,
dan ada rasa takut yang tidak kau ceritakan pada semua.

Kau diam.
Kau simpan.
Hanya Tuhan yang tahu betapa beratnya langkahmu
menuju bilik setiap malam,
betapa hati kecilmu berdoa agar esok
lebih ringan daripada hari semalam.

Sehinggalah pagi itu tiba.
Langit masih pucat,
angin pagi masih dingin.
Namun jeritan memecah suasana,
apabila tubuhmu ditemui di bawah bangunan asrama,
terbaring kaku,
wajahmu tenang namun bisu,
seolah membawa pergi semua jawapan yang kami cari.

Tiada bedah siasat…
tiada kata terakhir darimu…
hanya air mata ibu yang jatuh di sisi pusara.
Ibumu memeluk batu nisan itu,
mengusap tanah yang masih merah,
membisikkan doa dalam setiap hela nafasnya.
Adik-beradikmu terpinga-pinga,
mencari bayang mu yang tidak akan kembali.

Katilmu di asrama kini kosong,
langsir tidak lagi bergerak oleh hembusan nafasmu,
buku-buku pelajaran terbuka tanpa tangan untuk membaliknya.
Dan kami, yang mungkin tidak pernah mengenalimu, 
merasakan luka ini menikam hati,
kerana tiada seorang pun anak seusiamu
patut pergi dengan cara sebegini.

Zara Qairana…
kalau di dunia ini kau sunyi,
kami berdoa di syurga kau disambut bidadari.
Kalau di dunia ini kau pernah dipandang rendah,
kami berdoa di syurga kau diangkat setinggi-tingginya.
Kalau di dunia ini kau tidak sempat melihat keadilan,
kami berjanji akan terus memanggil namamu
hingga kebenaran itu tegak berdiri.

Tidurlah, bunga kecil…
di taman syurga yang tiada suara membuli,
tiada langkah takut menuju bilik,
tiada malam panjang yang memerangkap hati.
Hanya ada cahaya,
hanya ada kasih,
hanya ada Tuhan…
yang akan menjaga Zara Qairana
selama-lamanya.

Dan di setiap subuh bumi,
doa kami akan naik bersama cahaya mentari,
menemui rohmu yang damai di sisi Ilahi.
Setiap lafaz al-Fatihah,
adalah pelukan yang kami kirimkan dari jauh,
agar kau tahu, kau tidak pernah dilupa.

Walau jasadmu telah pergi,
namun keberanian dan kisahmu hidup dalam hati kami.
Engkau suara kepada yang dibisukan,
engkau sinar bagi mereka yang masih dalam gelap,
dan kami akan terus menyeru keadilan
hingga dunia ini belajar,
tiada lagi Zara yang kedua.

Di akhir segala perjalanan,
kami percaya akan tiba satu hari,
di mana kebenaran berdiri teguh di hadapan semua.
Hari di mana senyummu kembali,
hari di mana air mata ibu berganti bahagia.
Kerana Tuhan itu Maha Adil,
dan syurga itu benar, 
dan di sanalah engkau menunggu kami.

#JusticeForZara #keadilanuntukzaraqairina #zaraqairana #stopbuli #hentikanbuli  #tiadalagimangsa #saynotobullying  #bulibukanmainan #ProtectOurChildren  #LindungiAnakKita #StandForJustice  #truthforzara #AnakKitaTanggungjawabKita #kitajagakita  #mogaadakeadilan

Saturday, 1 February 2025

Jika kena scam

Baru tadi dapat panggilan telefon dari 0126582676, seorang telemarketer perempuan. 

Bila kita tanya daripada mana, katanya dari Agensi Bank. 

“Ya agensi bank tu, bank apa?”
“Kita ada sediakan perkhidmatan personal loan daripada setiap bank kecuali Public Bank”

Jadi kita pun tanya satu soalan cepu emas.

“Berapa interest awak boleh bagi?”
“Kita boleh bagi serendah 2.7%”

“Tapi saya bukan gomen servant, mana boleh dapat rendah macam tu”
“Swasta pun boleh encik. Encik hantar dokumen dulu”

“Tipu. Awak scammer. Saya akan report nombor ni. Takde bank bagi rendah macam tu untuk yang bukan gomen servant”
“Eh tak encik, kita ada banyak kes dah lulus. Encik boleh hantar dokumen dulu”

“Taknak. Awak tipu. Saya pun dalam bidang finance ni. Saya tahu awak tipu. Saya akan report nombor ni”
“Ok2 baik encik”

Terus letak. 

Ingat ya sahabat-sahabat. Hati-hati dengan panggilan dan tawaran sebegini. Jika ada keperluan sangat nak buat personal loan pun, pergilah direct terus ke bank. 

Modus operandi mereka memang begitu. Detailnya seperti di bawah berdasarkan perkongsian orang ramai. 

1. Tawarkan kadar interest yang rendah. Minta kita submit maklumat peribadi. Samada mereka akan hubungi dengan call biasa atau wassap kita. Mereka akan sharekan kad nama pekerja juga untuk mengaburi mata kita. 

2. Ambil 2-3 hari untuk confirmation.

3. Lulus dan minta kita bayar 1% kos duty stamp dari jumlah pinjaman. Kena bayar pula masuk akaun personal staff bank. 

4. Jumlah pinjaman kita akan appear dalam akaun bank. Tapi tak campur jumlah total baki akaun kita. Sebab dia floating.

5. Sebab apa floating? Sebab mereka masukkan cek tendang. Depa akan masukkan hari jumaat supaya nampka floating lama. Dan sabtu ahad tu, memang mereka akan kikis duit mangsa. 

Sambung di bawah:

6. Dah bayar kos duty stamp, kemudian esok atau lusa dia akan maklumkan credit score kita tak cantik. Kena topup sikit dalam baki akaun. Biasanya depa akan minta sikit-sikit. 

Dalam RM1,500 ke atas. Kemudian tak cukup lagi, kena tambah lagi. 

Mangsa jadi terpedaya sebab kata mereka, duit berkenaan akan diberi semula sekali dengan duit pinjaman. Cuma kena selesaikan dulu isu credit score. 

7. Once kita transfer sahaja duit, maka duit itu consider lebur. Dan begitulah seterusnya. 

8. Bila dah banyak sangat transfer barulah akan rasa rugi. Dan tersedar. Ketika itu sudah agak terlambat untuk dapatkan balik duit. 

9. Report polis perlu sebagai prosedur awal. Kelicikan scammer ini dahsyat. Jika dapat tangkap. Alhamdulillah.

10. Report bank pun sama. Tak banyak membantu sangat. Tapi mereka tetap perlukan report sebagai langkah berjaga-jaga. 

11. Report 997 (Pusat Respons Scam Kebangsaan) pun kena cepat. Dalam 4 hari selepas kes berlaku. Kalau tidak sop mereka tidak membenarkan mereka terima report. 

12. Akaun yang mereka minta mangsa trasnfer kan duit adalah terdiri daripada keldai akaun yang berbayar. Atau ada juga setengah kes, mereka juga (Keldai akaun ini) adalah mangsa. 

Akhir kata, kalau nak elak ditipu, di saat mereka perkenalkan diri, kita terus sahaja hubungi HQ bank yang mereka wakili. Tanya betul ke ada pekerja nama sekian dan sekian.

Berhati-hati semua. 

#Scammer
#PersonalLoan

Tenangkan Hidup Kita

Menjadi Wanita Tenang

1. Bangunlah seawal pagi. Mandi ni wajib. Jika saya bangun jam 5 pagi, saya akan segera mandi. Jika saya sedar 5.30 pagi, saya pasti akan mandi. Sebelum buat apa-apa, mandi dahulu. Mandi sebelum Subuh ini adalah petua awet muda dan sihat tubuh badan.

2. Buatlah Solat sunat Tahajud. Dua rakaat atau empat rakaat. Solat tahajud adalah senjata. Apa yang dimohon masa tahajud sama macam anak panah. Tepat ke sasaran.

3. Bacalah Al Quran sebelum masuk azan Subuh. Amalkan berterusan secara istiqamah. Walaupun hanya satu halaman Al Quran.

4. Selepas solat Subuh baca Yassin. Yassin adalah hati bagi Al Quran. Banyak kebaikan baca Al Quran terutama Yassin di awal pagi. Saya amalkan setiap hari bersama Kelab 7 Pagi.

5. Ini sangat dituntut iaitu Sedekah Subuh. Saya juga mengamalkannya melalui Kelab 7 Pagi. Masyaallah luar biasa kebaikannya.

6. Selawatlah kepada Rasulullah SAW. Baca sekurang-kurangnya 100 kali. Paling baik 1000 kali sehari. Sambil memandu boleh, sambil memasak boleh, menunggu di kaunter bank boleh, selepas solat fardu boleh. Inshaallah semua urusan hidup akan dipermudahkan jika kita rajin berselawat. Mahu apa saja, berselawatlah.

7. Jika masih ada ibu dan ayah, telefonlah mereka setiap hari. Jika mak ayah kita menggunakan smart phone, buat video call pun sangat bagus. Tengok wajah mak ayah yang menjadi pintu syurga kita. Minta berkat dan doa sebelum mula bekerja atau berniaga. Mohon ampun setiap hari, mohon restu dan doa mereka.

8. Solat dhuha jangan tinggal. Wajib ditunaikan. 2 rakaat, 4 rakaat atau sehingga 12 rakaat. Waktu kita menjadi berkat, banyak urusan boleh dibuat dengan baik dalam waktu yang ditetapkan. Masa menjadi lebih panjang.

9. Amalkan solat sunat lain. Solat sunat Qabliah dan solat sunat Baadiah. Paling hebat sebelum Subuh. Umpama dapat dunia dan seisinya. Lepas tu sebelum dan sesudah Zohor. Kemudian tambah sikit-sikit sampai cukup 10 minimum sehari. Lagi banyak buat lagi bagus. Dikatakan jika solat sunat kita melebihi 40 rakaat sehari, nama kita akan dipadamkan dari senarai ahli neraka. Masyaallah

10. Buat briswalk setiap hari atau senaman ringkas. Sekurang-kurangnya 30 minit sehari. Jika briswalk, 5000 step sehari. Atau apa-apa senaman yang sesuai dan kita suka.

11. Secara beransur-ansur, kurangkan jumlah makan. Atau tukar kepada pemakanan yang lebih sihat. Biar badan ringan untuk bergerak. Beribadat.

12. Dengar paling kurang satu nasihat setiap hari. Manusia ni hatinya berbolak balik. Dan kena selalu diingatkan. Carilah cara ingatkan diri sendiri dengan cara yang kita suka.

13. Tambah satu ilmu satu hari. Dengan teknologi serba canggih hari ini, dunia boleh diperolehi dengan mudah. Hanya melalui smart phone. Ilmu akhirat lebih baik. Supaya kita sibuk dengan usaha untuk upgrade diri sendiri. Orang yang sibuk upgrade diri tak sempat nak lihat benda lain yang downgrading. Baca buku. Lihat youtube, masuk seminar, dengar ceramah dan sebagainya.

14. Saya amalkan bacaan Al Mulk setiap hari sebelum tidur. Ia akan menyelamatkan kita di alam barzakh nanti. Pasang Youtube dan follow bacaan. Lama-lama Surah Al Mulk dah ingat dan melekat dalam minda. Alhamdulillah

15. Jom sama-sama kita amalkan untuk hidup tenang dan bahagia. Sebagai wanitabyang amat sibuk dengan urusan bisnes, saya sentiasa berusaha mencari masa dan ruang untuk istiqamah dengan amalan-amalan ini. Semoga Allah merahmati kita semua.

16. Foto saya ketika dalam Haramain High Speed Railway dari Madinah ke Mekah ketika mengerjakan umrah yang lalu. Jika dengan bas, 7 jam perjalanan. Dengan train laju ini, dua setengah jam boleh sampai. Alhamdulillah.

Kredit dan penulisan asal oleh Siti Suryani Yaakop, via FB Faridah Mohd Ali & oh bulan