Tuesday, 2 August 2022

Felda Lurah Bilut

Pada hari ini, 2 Ogos di tahun 1959- Seramai 30 orang telah tiba di Tanah Rancangan Lembah Bilut untuk memulakan hidup baru sebagai peneroka di sana. Mereka adalah kumpulan PERTAMA yang telah dipilih dari seramai 9,000 pemohon untuk mendiami tanah rancangan Lurah Bilut.

Lurah Bilut menjadi projek pertama FELDA yang ditubuhkan pada 1 Julai 1956 di bawah Ordinan Kemajuan Tanah 1956. Ia wujud dengan objektif membasmi kemiskinan melalui pembangunan tanah dan penempatan semula masyarakat di luar Bandar.

Lurah Bilut merupakan kawasan lembah paling subur di Banjaran Titiwangsa bersempadan dengan Sungai Bilut dan Hutan Simpan Klau yang mula dibangunkan pada 1 April 1958. Di mana ia ditadbir di bawah Perbadanan Kemajuan Lurah Bilut mengikut peruntukan Ordinan Kemajuan Tanah 1956 Seksyen 42.

FELDA telah memilih Lurah Bilut sebagai rancangan pertama untuk dimajukan. Pada 16 Ogos 1957, FELDA telah mengemukakan cadangan pembangunan di Lurah Bilut secara rasmi kepada Kerajaan Negeri Pahang untuk diluluskan. Pada 1 April 1958 bermulalah pembangunan Lurah Bilut yang melibatkan kawasan seluas 12,920 ekar.

Nama Bilut diambil sempena nama sejenis ikan darat ‘Bilut’ atau belut dan dikenali dengan nama saintifik Krytopterus Cryptopterus. Kampung FELDA Lurah Bilut ialah sebuah kampung tersusun, yang asalnya didiami migran Minangkabau sekitar abad ke-16. Penghijrahan masuk peneroka awal FELDA Lurah Bilut meliputi seluruh negeri di Semenanjung Malaysia secara berperingkat-peringkat mulai tahun 1959.

Terdapat tiga peringkat kemasukan peneroka berdasarkan tarikh kawasan peringkat itu dimajukan. Peneroka Peringkat Satu, sejumlah 418 orang masuk pada tahun 1959. Peneroka Peringkat Dua, berjumlah 92 orang masuk pada tahun 1960 dan kemasukkan peneroka terakhir Peringkat Tiga seramai 102 orang pada tahun 1961. Jumlah keseluruhan peneroka rintis FELDA Lurah Bilut adalah seramai 616 orang.

Semua peneroka rintis ini telah ditempatkan di kawasan perumahan mengikut ‘rombongan’ daerah negeri masing-masing. Sehingga ke hari ini penempatan itu masih kekal, orang Keramat ditempatkan di rombongan Keramat, orang Bentong; rombongan Bentong, orang Sabak Bernam di rombongan Sabak, orang Kelantan; rombongan Kelantan dan sebagainya.

Pada peringkat awal penempatan, semua kerja-kerja penebangan hutan, pembinaan rumah dan penanaman getah diusahakan sendiri dan secara gotong-royong. Mereka ditempatkan di beberapa buah bangsal panjang yang dijadikan rumah tumpangan sementara sebelum rumah masing-masing siap didirikan dan selepas itu mereka semua akan pulang ke kampung mengambil isteri dan anak-anak.

Antara syarat asas menyertai FELDA mestilah dalam kalangan mereka yang sudah berkahwin. Pasangan muda yang baru berkahwin ini sama-sama membanting tulang mengerah keringat membangun sebidang tanah belantara tanpa apa-apa dalam masa sama membesarkan anak-anak.

Lurah Bilut terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Bentong mengambil masa kurang lebih setengah jam perjalanan dari Tol Bentong. Asalnya FELDA Bilut ini terletak di jalan mati. Belum ada binaan jalan melalui FELDA ini hingga menembusi Daerah Raub seperti sekarang. Kecuali jalan lama Bentong-Raub melalui Kampung Sungai Penjuring yang berbengkang-bengkok seperti ular kena palu.

Sekitar tahun 1990-an jalan lama Bentong-Raub itu kemudiannya dipintas dan dibina sebatang jalan baru ‘super two FT8’ yang lurus yang kini membentuk sebahagian Jalan Persekutuan 8 menghubungkan Kuala Lumpur – Kota Bharu sementara jalan lama Bentong-Raub itu pula diwartakan semula sebagai Jalan Persekutuan 218.

Jika anda bergerak dari Kuala Lumpur, hanya perlu menggunakan Lebuh Raya Gombak-Karak, dan keluar di Exit 810 Bentong. Kemudian anda akan tiba di Bandar Bentong dan ambil jalan menuju ke arah Raub. Lembah Digital Bilut (LDB) menunggu ketibaan anda di sebelah kanan jalan raya

Ada orang mendakwa Bilut merupakan antara atau satu-satunya kawasan FELDA paling dekat dengan lebuhraya tanpa bersusah payah memandu jauh berbatu-batu masuk ke dalam. Mungkinkah?

Kewujudan FELDA Lurah Bilut begitu istimewa terutama bagi generasi pertama masyarakat tanah rancangan FELDA, kerana di sinilah bermulanya sejarah, ‘blueprint’ dan ‘role model’ rancangan pembangunan tanah secara berkelompok untuk pertanian yang pertama di Malaysia dan dunia.

Filem ‘Bilut’ telah mengangkat FELDA Lurah Bilut sebagai simbol kegigihan, kecekalan dan kekentalan warga FELDA khususnya orang Melayu dan berjaya menggambarkan dengan jelas peneroka tanah rancangan FELDA Lurah Bilut sebagai ‘the real peneroka’.

Kedit : SuatuKetika.com

No comments:

Post a Comment