Saturday, 15 November 2025

Habislahhhh

KENYATAAN MEDIA BERHUBUNG PERJANJIAN ANTARA AMERIKA SYARIKAT DAN MALAYSIA BERKENAAN PERDAGANGAN TIMBAL BALAS

Kami mengeluarkan kenyataan media ini sebagai Ahli-Ahli Parlimen. Wong Chen ialah Pengerusi semasa Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa, namun mengeluarkan kenyataan bersama ini bukan atas kapasiti tersebut tetapi sebagai seorang Ahli Parlimen yang telah mengangkat sumpah untuk memelihara kepercayaan yang benar dan taat setia kepada Malaysia serta mempertahankan Perlembagaan.

Kami merujuk kepada Perjanjian Antara Amerika Syarikat dan Malaysia Berkenaan Perdagangan Timbal Balas (“Perjanjian”) yang telah ditandatangani pada 26 Oktober 2025 di Kuala Lumpur.

Setelah penelitian dan perbincangan yang mendalam, kami yakin bahawa Perjanjian ini sangat berat sebelah dan memihak kepada Amerika Syarikat. Kami juga mengambil maklum bahawa Timbalan Menteri Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), YB Liew Chin Tong, dalam satu forum awam pada 3 November 2025, menyatakan bahawa Malaysia telah dipaksa untuk memasuki rundingan ini dan bahawa ia bukan satu perkongsian setara. Tambahan pula, kami yakin, berdasarkan maklum balas rasmi dan kekurangan kejelasan teks Perjanjian, bahawa penandatanganan Perjanjian ini telah dibuat tanpa analisis kos faedah yang komprehensif dan tanpa konsultasi awam yang mencukupi.

Berhubung persoalan politik sama ada Malaysia telah menyerahkan kedaulatannya melalui Perjanjian ini, kami yakin bahawa beberapa Artikel, khususnya tetapi tidak terhad kepada Artikel 5.1, 5.2 dan 5.3, sekiranya dikuatkuasakan oleh Amerika Syarikat dan dipatuhi oleh Malaysia, akan mengehadkan dan menyekat hak kedaulatan Malaysia, memaksa Malaysia untuk sejajar dengan kepentingan keselamatan negara dan ekonomi Amerika Syarikat. Senario ini merupakan satu penyimpangan besar daripada dasar luar dan dasar perdagangan Malaysia yang telah lama berpegang kepada prinsip berkecuali aktif dan keutamaan ASEAN.

Walau bagaimanapun, kami mengambil maklum bahawa Malaysia mempunyai dua pilihan dari segi undang-undang untuk mempertahankan kepentingan kedaulatannya. Pertama, Malaysia boleh memohon pindaan kepada Perjanjian di bawah Artikel 7.3 atau kedua, Malaysia boleh menamatkan Perjanjian di bawah Artikel 7.4. Kami bersetuju dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang pada 30 Oktober 2025 telah menegaskan di Parlimen bahawa Malaysia mempunyai “exit clause” dan boleh menamatkan Perjanjian sebagai jalan keluar daripada persoalan kedaulatan tersebut. Dalam hal yang sama, Jabatan Peguam Negara, pada 3 November 2025, turut mengesahkan bahawa Malaysia mempunyai hak untuk menamatkan Perjanjian melalui notis bertulis kepada Amerika Syarikat.

Kami juga mengambil maklum dengan penuh kebimbangan bahawa terdapat kesan negatif langsung dan tidak langsung daripada Perjanjian ini terhadap Malaysia, termasuk tetapi tidak terhad kepada imbangan dagangan, implikasi fiskal dan aliran keluar pelaburan. Kami juga bimbang bahawa Perjanjian ini boleh menjejaskan Perjanjian Perdagangan Bebas (“FTA”) sedia ada serta perjanjian komersial sedia ada dengan negara ketiga.

Sebaliknya, kami mengakui bahawa terdapat juga beberapa kesan positif daripada Perjanjian ini dalam perkara berkaitan perdagangan digital, semikonduktor dan farmaseutikal. Kami turut mengalu-alukan beberapa artikel dalam Perjanjian yang berkaitan amalan pengawalseliaan yang lebih baik, hak pekerja dan perlindungan alam sekitar.

Kami ingin mengemukakan syor-syor berikut kepada Kerajaan Madani.

1. Kami menyokong sepenuhnya komitmen Kerajaan Madani terhadap tadbir urus yang baik, ketelusan dan akauntabiliti. Oleh itu, bagi membuktikan kesungguhan tersebut, kami menggesa Kerajaan Madani untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong agar membentuk satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (“RCI”) untuk menyiasat semua perkara berkaitan penandatanganan Perjanjian ini, khususnya mengenai perkara bahawa Malaysia telah “dipaksa” untuk berunding. Kami juga menginginkan penjelasan mengapa Malaysia memilih sebuah Perjanjian dan bukan sekadar MOU atau Kerangka. Kami percaya bahawa RCI akan membantu memulihkan dan meningkatkan akauntabiliti awam dalam isu kontroversi ini. RCI juga wajar ditugaskan untuk mencadangkan struktur tadbir urus yang lebih kukuh, mekanisme konsultasi awal, serta semak dan imbang dengan tujuan memperbaiki proses perundingan perdagangan pada masa hadapan.

2. Kami menggesa Kerajaan Madani untuk melantik peguam perdagangan antarabangsa serta pakar luar yang berwibawa untuk:

(a) memulakan proses pindaan terhadap artikel Perjanjian yang lebih membebankan dari segi kedaulatan negara;
(b) menjelaskan dan memberi nasihat mengenai semua artikel berkaitan takrifan, skop, tanggungjawab dan penguatkuasaan Perjanjian; dan
(c) menjalankan kajian matriks perundangan terhadap potensi kesan akses pasaran daripada Perjanjian ini terhadap FTA sedia ada dan perjanjian pelbagai hala termasuk tetapi tidak terhad kepada Regional Comprehensive Economic Partnership (“RCEP”), Comprehensive and Progressive Agreement for the Trans-Pacific Partnership (“CPTPP”) dan European Free Trade Association (“EFTA”).

3. Kami menggesa Kerajaan Madani untuk mewujudkan satu pasukan khas yang terdiri daripada pakar perdagangan antarabangsa termasuk ahli ekonomi bagi menjalankan analisis kos-faedah komprehensif ke atas Perjanjian ini untuk mengkaji dan mengunjurkan kesan terhadap termasuk tetapi tidak terhad kepada keluaran dalam negara kasar Malaysia, akses pasaran, imbangan dagangan, kebimbangan mengenai pengaliran keluar mata wang, dan aliran pelaburan antara Amerika Syarikat dan Malaysia serta melaporkan perkara yang sama kepada Parlimen.

4. Kami menggesa Kerajaan Madani untuk mewujudkan satu pasukan penasihat dasar luar pada peringkat tinggi berhubung kesan dan implikasi geopolitik daripada Perjanjian ini terhadap dasar luar dan dasar perdagangan antarabangsa Malaysia berhubung tetapi tidak terhad kepada BRICS, Association of Southeast Asian Nations (“ASEAN”), Organisation of Islamic Cooperation (“OIC”) dan Negara-Negara Selatan Global (“Global South”) serta melaporkan perkara tersebut kepada Parlimen.

5. Kami menggesa MITI untuk menubuhkan satu bahagian khas bagi menyelaras dengan kementerian-kementerian lain untuk memberikan maklumat terkini, menjawab pertanyaan dan berinteraksi dengan para pelabur serta pemimpin industri mengenai perkara yang berkaitan tetapi tidak terhad kepada akses pasaran, reaktor nuklear, mineral kritikal, keselamatan bio, peranti perubatan, farmaseutikal, tenaga kerja, alam sekitar dan perdagangan digital yang berkaitan dengan Perjanjian ini.

13 NOVEMBER 2025

Wong Chen
Ahli Parlimen Subang

Nik Nazmi
Ahli Parlimen Setiawangsa

Rafizi Ramli
Ahli Parlimen Pandan

Perjanjian tersebut boleh diakses melalui pautan laman web ini: https://www.whitehouse.gov/briefings-statements/2025/10/agreement-between-the-united-states-of-america-and-malaysia-on-reciprocal-trade/


No comments:

Post a Comment