Saturday, 9 August 2025

Puisi untuk Zara Qairina

BUNGA YANG DIPATAH SEBELUM MEKAR

 PUISI KHAS UNTUK ZARA QAIRANA DARI Muhammad Syazwan 

Di bumi Sabah yang indah,
di bawah awan putih yang damai,
hidup seorang gadis bernama Zara Qairana Mahathir.
Tiga belas tahun usianya, 
usia yang sepatutnya dihiasi tawa,
masa untuk belajar, bermain, dan membina mimpi.

Kau anak yang sopan,
senyummu lembut,
kata-katamu halus,
tak pernah menyakitkan hati sesiapa.
Ibumu menghantar kau ke asrama
dengan harapan ilmu akan menjadi pelita hidupmu,
tanpa tahu bahawa bangunan itu
juga menyimpan bayang gelap yang menyesakkan dada.

Di malam-malam sunyi,
ketika rakan-rakan lain lena,
kau memendam rasa,
menelan arahan dan pandangan yang membuat kau gusar.
Ada barang hilang,
ada masa yang diambil tanpa rela,
dan ada rasa takut yang tidak kau ceritakan pada semua.

Kau diam.
Kau simpan.
Hanya Tuhan yang tahu betapa beratnya langkahmu
menuju bilik setiap malam,
betapa hati kecilmu berdoa agar esok
lebih ringan daripada hari semalam.

Sehinggalah pagi itu tiba.
Langit masih pucat,
angin pagi masih dingin.
Namun jeritan memecah suasana,
apabila tubuhmu ditemui di bawah bangunan asrama,
terbaring kaku,
wajahmu tenang namun bisu,
seolah membawa pergi semua jawapan yang kami cari.

Tiada bedah siasat…
tiada kata terakhir darimu…
hanya air mata ibu yang jatuh di sisi pusara.
Ibumu memeluk batu nisan itu,
mengusap tanah yang masih merah,
membisikkan doa dalam setiap hela nafasnya.
Adik-beradikmu terpinga-pinga,
mencari bayang mu yang tidak akan kembali.

Katilmu di asrama kini kosong,
langsir tidak lagi bergerak oleh hembusan nafasmu,
buku-buku pelajaran terbuka tanpa tangan untuk membaliknya.
Dan kami, yang mungkin tidak pernah mengenalimu, 
merasakan luka ini menikam hati,
kerana tiada seorang pun anak seusiamu
patut pergi dengan cara sebegini.

Zara Qairana…
kalau di dunia ini kau sunyi,
kami berdoa di syurga kau disambut bidadari.
Kalau di dunia ini kau pernah dipandang rendah,
kami berdoa di syurga kau diangkat setinggi-tingginya.
Kalau di dunia ini kau tidak sempat melihat keadilan,
kami berjanji akan terus memanggil namamu
hingga kebenaran itu tegak berdiri.

Tidurlah, bunga kecil…
di taman syurga yang tiada suara membuli,
tiada langkah takut menuju bilik,
tiada malam panjang yang memerangkap hati.
Hanya ada cahaya,
hanya ada kasih,
hanya ada Tuhan…
yang akan menjaga Zara Qairana
selama-lamanya.

Dan di setiap subuh bumi,
doa kami akan naik bersama cahaya mentari,
menemui rohmu yang damai di sisi Ilahi.
Setiap lafaz al-Fatihah,
adalah pelukan yang kami kirimkan dari jauh,
agar kau tahu, kau tidak pernah dilupa.

Walau jasadmu telah pergi,
namun keberanian dan kisahmu hidup dalam hati kami.
Engkau suara kepada yang dibisukan,
engkau sinar bagi mereka yang masih dalam gelap,
dan kami akan terus menyeru keadilan
hingga dunia ini belajar,
tiada lagi Zara yang kedua.

Di akhir segala perjalanan,
kami percaya akan tiba satu hari,
di mana kebenaran berdiri teguh di hadapan semua.
Hari di mana senyummu kembali,
hari di mana air mata ibu berganti bahagia.
Kerana Tuhan itu Maha Adil,
dan syurga itu benar, 
dan di sanalah engkau menunggu kami.

#JusticeForZara #keadilanuntukzaraqairina #zaraqairana #stopbuli #hentikanbuli  #tiadalagimangsa #saynotobullying  #bulibukanmainan #ProtectOurChildren  #LindungiAnakKita #StandForJustice  #truthforzara #AnakKitaTanggungjawabKita #kitajagakita  #mogaadakeadilan

No comments:

Post a Comment