Monday, 18 March 2024

Allah sayang kita

#copypaste

Setiap kali ramadan,

Kisah ini selalu menyegarkan jiwa dan iman.

Saya menerima satu pm dari seorang wanita.

Panjang kisahnya bersama suami sepanjang 10 tahun menjadi peniaga ni.

"Maaf ustaz. Saya dah minta izin suami nak kongsi cerita kami. Kami tak tahu nak kata macamana. Perasaan yang kami berdua tak pernah rasa sepanjang ramadan ni"

"Oh boleh. Silakan puan"

Sepasang suami isteri. Ada dua orang anak. Mereka ni peniaga ramadan. Maksudnya, datang je ramadan memang target mereka ada berniaga. 

Hidup dan mati memang di tumpukan sehabisnya untuk ramadan. Setiap kali datang ramadan, duit. Duit dan duit dalam kepala. Itu sahaja. Lain mereka tak ambil kira.

Puasa ke, terawikh, ibadah, memang tunggang langgang. Rasa ok, buat. Penat, memang mereka tinggal. Allahu. Masa puan ni cerita, sambi beberapa kali dia berhenti. Sebak katanya. Malu dengan Tuhan.

Tahun lepas, untungnya tak seberapa.

Tahun ni mereka cuba lagi. Tahun-tahun sebelumnya memang padu. Jualan bukan puluhan ribu. Masih ada sampai setengah juta juga. 

Perancangan, stok dan semua mereka "all out" tahun ni. Pinjam sana, pinjam sini. Target memang tahun ni nak simpan banyak lagi. Nak untung lebih lagi. 

Namun dari awal ramadan, satu persatu masalah datang. Bermula dari stok yang tak dapat disiapkan suplier, ada barang yang dah sampai pada pelanggan salah order. Yang tak sempurna pun ada. Oh ya. Mereka berniaga baju-baju raya kanak-kanak dan busana muslimah.

Pening kepala! Serabut!

Hubungan sebagai suami isteri mula renggang. Bergaduh setiap hari. Anak-anak terabai sampai hantar ke orang lain suruh jaga sepanjang ramadan ni. 

Semakin hari, perniagaan mereka makin teruk. Ramadan makin penghujung. Tiba-tiba PKP pulak ni. Lagilah mereka down. Semua tapak kena bersihkan. Stok melambak. Yang hal order salah, yang sampai baju ada koyak sana sini, yang pilihan warna salah lagi.

Satu hari, tiba-tiba puan ini rasa lain.

Rasa down yang datang, bersama rasa berdosa. Menangis dia sepanjang malam.

"Akhirnya ustaz, saya datang kepada suami. Saya ajak suami bangun malam. Saya minta maaf dengannya. Saya kata pada suami, jomlah kita solat. Kita isi ramadan ni. Kita dah teruk ni"

Dan, sepanjang 10 tahun mereka berniaga, itulah kali pertama mereka berdua solat berjemaah.

Habis solat malam tu, mereka baca Al-Quran pula. Basah setiap mukasurat dengan airmata mereka. Puan ni cerita, suami dia sampai tutup Al Quran dan meraung.

Rasa berdosa yang tak tahu nak cerita.

Minta ampun pada Allah bagai nak gila!

"Ustaz, pertama kali kami sahur sama. Saya turun masak. Saya hidangkan makanan pada suami. Saya dan suami rasa, indahnya ramadan saat tu. Kami solat subuh. Lepas subuh, kami terus ambil anak-anak. Kesian anak-anak"

Dan, bermula dari malam semalam, sampailah waktu berbuka, tidak ada ruang yang kosong pada mereka.

Mereka isi dengan sebanyaknya. Mereka tebus dosa. Pergi rumah anak yatim, belanja berbuka dan berbuka sama. 

"Ustaz, satu hari tiba-tiba suami dapat panggilan. Dari sebuah yayasan. Ustaz tahu mereka nak apa? Mereka perlukan 500 helai baju kanak-kanak dan 250 helai baju muslimah untuk ibu-ibu tunggal. Suami terduduk masa tu. Saya peluk suami. Kami menangis. Kami berlari cari Al Quran dan cium. Kami malu dengan Allah. Kami malu dengan Allah. Kami buat sehari ni je ibadah, macam ni Allah balas"

Kalian,

Berniaga itu, urusannya benar dengan manusia. Namun jual beli nya adalah dengan Allah.

Saya tak tahu nak kata macamana bila baca semua kisah dari puan ni.

Satu persatu airmata menitis membayangkan betapa begitu sekali Allah melayani hamba-hambaNya yang berdosa.

Saat Tuhan ambil sekejap dunia mereka, Tuhan pulangkan semula dengan penuh kasih sayang. Hingga hambaNya terasa benar kasih Tuhan itu.

Hari ini, kesakitan apa yang kita tak rasa.

Semuanya kita rasa. Satu persatu Allah ambil dari kita. Terduduk dan terdiam kita buntu tak tahu. Tak terlafaz dengan apa jua pun bila Allah uji kita begini.

Namun, benar.

Kasih sayang Allah itu ada dalam setiap penderitaan dan kesakitan. Allah sedang panggil hati kita. Allah mahukan hati kita itu sebenarnya. Sebab tu Allah tarik dunia ni sementara.

Wahai Allah,

Hati kami di ramadan ini, Kau rasakanlah dengan rasa kasih dan sayang. Terimalah ibadah kami. Jangan Kau biarkan kami dalam dosa. Sungguh, Engkaulah pemimpin sejati. Engkaulah pembela kami. Engkaulah penyelesai masalah kami.

Allah..

Allah..

#sweeterapi

Kredit kepada Abu Hurairah Roslan

No comments:

Post a Comment