Monday, 19 June 2023

Budak Despatch Dapat PHD


BUDAK DESPATCH DAPAT PHD

BAB 1
Pada tahun 1998 -- seorang remaja berusia sekitar 19 tahun datang ke Kuala Lumpur dari kampungnya di Bukit Rambai, Melaka.

Saya kenal remaja ini sebagai budak rantau dari keluarga miskin yang mencari ruang bermain bolasepak di Kuala Lumpur.

Dia menumpang di rumah bujang rakan-rakan bolasepaknya dan sesekali melepak di kabin Blok 12, Flat Sri Pulau Pinang.

Kami bermain bolasepak saban petang -- sesekali saya bertindak sebagai penolong pengurus membawa kelab kecil Ranggi United beraksi di Liga 3 Kuala Lumpur.

Satu hari remaja yang juga pemain "import" kelab kecil ini datang ke rumah saya.

"Bang... ada seluar dan kemeja opis tak, esok ada interview desptach. Kawan cakap kalau saya pergi ada peluang dapat kerja."

Saya memiliki banyak pakaian pejabat kerana sejak 1994 hingga 1996 itulah pakaian harian ketika bekerja di Utusan Melayu.

Sejak 1996 -- apabila mula bekerja di Astro saya dibenarkan memakai jeans asalkan kemas dengan kemeja.

Jadi saya berikan pada anak muda ini memilih apa yang diperlukan. Seingat saya -- Azam memilih beberapa seluar Giordano dan kemeja Durban.

Kami terus berkawan dan bermain bolasepak setiap petang hingga saya berpindah ke Shah Alam kerana menyertai ntv7 pada 1999.

BAB 2
Pada 2015 -- saya dijemput Jabatan Perdana Menteri menyertai perjalanan menyampaikan penjelasan isu semasa di 13 buah universiti di Ocenia.

Enam di New Zealand dan tujuh di Australia. Perjalanan yang jadualnya sangat padat. Terbang dari bandar ke bandar setiap 24 jam dengan sesi ceramah dan soal jawab bersama pelajar Malaysia.

Akhirnya, saya tiba di University of Queenland (UoQ) di Brisbane, Australia dan menyampaikan siri pandangan saya mengenai pertembungan idea antara Barat dan Asia. 

Seterusnya menjawab isu "hangat" berdasarkan fakta kewartawanan mengenai Tragedi MH370 yang berlaku pada 8 Mac 2014.

BAB 3
Usai ceramah di UoQ - seorang pemuda berjambang dan bersongkok meluru pada saya dan memanggil:
"Bang... ingat saya tak?"

Saya terkedu. Siapa lelaki ini antara kerumunan hampir 150 pelajar Malaysia?

Saya diam dan hanya tersenyum. Lelaki ini memeluk saya dan berkata:
"Abang dulu ada bagi saya pakaian masa nak interview despatch. Saya Azam, budak Melaka yang main bola di Sri Pulau Pinang".

Saya merenggangkan pelukan. Melihat lelaki berjambang ini dan baru terasa betapa cepat waktu berganjak setelah 17 tahun (1998-2015) tidak melihatnya.

Cuma saya terfikir: "Dia di Australia kutip epal atau kutip anggur. Jauh dari KL ke Queenland?"

Tapi, saya bertanya dengan sopan: "Apa kau buat sini Zam?"

"Saya buat PHD bang. Doakan saya lulus ya... ni tahun akhir."

Saya terdiam. Saya teringat budak kurus seluar bersaiz 31 yang duduk di ruang tamu rumah saya.

Rumah flat kecil Sri Pulang Pinang dan dia memilih beberapa pasang seluar dan baju yang sesuai untuk dipakai menghadiri "interview despatch".

Hari itu (tarikh foto dirakam) dia berdiri di depan saya sebagai pelajar PHD Sains Sukan di UoQ.

Kami berpelukan. Sekarang saya akan ingat dua perkara.

Satu: Semangatnya ketika berlari di padang bola. 
Kedua: Ayahnya telah memberikan dia nama yang selayaknya.

Azam bererti Tekad.

BAB 4
Disember 2021 -- ketika sedang rancak strim jualan Levis 501; admin menyampaikan pesan dalam komen:

"Ada orang nama Azam kirim salam. Terima kasih bagi seluar dan baju masa dia interview despatch."

Terus saya teringat Dr. Azam. 

Secara live saya bertanya: Azam, kau masih pakai saiz 31 kah? Ambil yang cantik ini dan abang belanja RM150 saja".

BAB 5
(Terhutang budi Kisah Azam).

Sejak kembali dari New Zealand dan Australia pada 2015, saya sering menyampaikan ceramah kepada pelajar universiti. 

Cerita si Azam budak Melaka datang ke KL dan menumpang bermain bolasepak selalu jadi petikan dalam sesi perkongsian saya.

Saya kongsikan kisah keazaman seorang remaja yang mahu mendapatkan kerja despatch dan berakhir sebagai pemegang PHD UoQ.

Dari universiti tempatan sampai ke universiti di Turki, Mesir, Jordan dan Syria kisah ini selalu saya ceritakan.

Dari pelajar tahfiz Quran sampai ke calon doktor perubatan.

BAB AKHIR
Manusia bermula dengan apa yang ada. Bezanya dengan apa yang ada itulah -- manusia berusaha membina masa depannya. 

Apa yang ada bukan semestinya wang dan harta.

Aset utama ialah keazaman.

Dr Azam ialah kisah keazaman seorang budak kampung asal Bukit Rambai yang mahukan kejayaan. Dia berusaha dan berusaha sehingga berjaya memilikinya.

Selamat Maju Jaya Dr. Azam. 

Hidup adalah perjuangan bagi mereka yang hatinya adalah sebilah pedang yang sentiasa terhunus mendepani cabaran kehidupan.

(Foto 2015 di UoQ, Brisbane, Australia)

No comments:

Post a Comment